Parlimen tidak memuat naik Kertas Putih Felda sebelum waktunya

Parlimen tidak memuat naik Kertas Putih Felda sebelum waktunya

Timbalan Yang Di-Pertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming, memaklumkan Kertas Putih FELDA berstatus embargo hanya dimuat naik selepas Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali membentangkan kertas putih itu tengah hari semalam.

Sehubungan itu, beliau berkata, dakwaan pihak pembangkang bahawa kakitangan Parlimen memuat naik dan dan melanggar peraturan embago adalah tidak benar dan tidak berasas malah proses memuat naik dokumen itu tidak melanggar peraturan.

“Kerajaan mengesahkan dokumen embargo tidak dimuat naik ke laman rasmi Parlimen, ia hanya dibuat selepas Datuk Seri Azmin membentangkannya tengah hari semalam.

“Kalau anda semua periksa di laman sesawang Parlimen, ianya tiada isi kandungan. Itu hanya agenda mesyuarat yang mesti dimaklumkan supaya Ahli Parlimen tahu apa yang akan berlaku ketika sidang Dewan Rakyat berlangsung.

“Kita juga akan memberi peluang kepada Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Razak untuk beliau jelaskan kepada hak jawatankuasa.

“Mengikut Peraturan Mesyuarat 80, Dewan boleh menubuhkan jawatankuasa hak dan kebebasan untuk menimbang perkara yang melanggar majlis mesyuarat iaitu institusi Parlimen,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Semalam, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, Parlimen akan mengambil tindakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang memuat naik kandungan Kertas Putih FELDA di Facebooknya petang kelmarin.

Susulan isu berkenaan, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pula mendakwa, niat kerajaan untuk menghukum Datuk Seri Najib sudah ada sejak dari mula lagi.

Beliau menjelaskan, petang semalam mereka membentangkan usul untuk menggantung Ahli Parlimen Pekan selama tiga bulan dan telah menukar rancangan pada pagi ini.

“Pagi ini pihak kerajaan pula berkata, ianya perlu dirujuk kepada jawantakuasa terpilih dan keputusannya juga kita sudah tahu.

“Walaupun terdapat usul baharu, tetapi kesannya tetap sama.. walaupun cadangan mereka dalam jawatankuasa terpilih bahawa Najib perlu digantung tiga bulan, maka tiga bulan ah hukumannya,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen hari ini.