Parlimen UK tolak perjanjian Brexit

Parlimen UK tolak perjanjian Brexit

Parlimen Britain pada Selasa menolak perjanjian Brexit, menyulitkan lagi langkah bersejarah negara itu untuk keluar daripada Kesatuan Eropah (EU), lapor agensi berita Xinhua.

Seramai 432 anggota parlimen mengundi menolak perjanjian yang dicapai antara Kerajaan Britain dengan EU berbanding 202 menyokong, selepas isu berkenaan dibahaskan selama lima hari.

Perdana Menteri Britain, Theresa May mempunyai tiga hari untuk kembali ke Parlimen bagi membentangkan ‘Pelan B’. Britain dijadual meninggalkan EU pada 29 Mac depan.

Pemimpin Parti Buruh, Jeremy Corbyn, membentangkan usul tidak percaya terhadap kerajaan berikutan kekalahan usul kerajaan itu. Usul berkaitan akan dibahaskan di Dewan Rakyat pada Rabu.

Dalam rayuan saat akhir menjelang undian, Perdana Menteri berkata, undian itu adalah proses membuat pemilihan paling penting dalam sejarah politik mereka.

Katanya, keputusan undian akan menentukan nasib Britain untuk dekad akan datang.

— BERNAMA