Malaysia Dateline

Parlimen wajib bersidang penuh, gesa Majlis Presiden PH

Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) berpendirian bahawa Parlimen wajib bersidang secara penuh bermula 18 Mei ini.

Dalam satu kenyataan antara Presiden, PH menegaskan sekiranya beberapa sektor ekonomi dibenarkan beroperasi bermula semalam, maka Parlimen juga seharusnya wajib diteruskan dan bersidang penuh.

Katanya, Operasi Standard Prosedur (SOP) yang ditetapkan Dewan Rakyat bagi membolehkan sidang Parlimen berjalan, membolehkan sidang Parlimen diteruskan selama sekurang-kurangnya dua minggu.

“Masalah-masalah rakyat memerlukan perhatian khusus Parlimen.

“Ianya termasuklah isu kebajikan, pekerjaan, malah juga semak dan imbang perjalanan kerajaan bagi menjamin ketelusan pengurusan dan kebertanggungjawaban pihak eksekutif,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu dibuat antara Presiden dari ketiga-tiga parti komponen PH iaitu AMANAH, Mohamad Sabu; PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim; dan DAP, Lim Guan Eng.

Pada masa sama, Majlis Presiden turut menggesa agar beberapa pindaan kepada Peraturan Mesyuarat dilakukan bagi membolehkan Parlimen terus bersidang.

Antaranya, termasuklah secara dalam talian dan dengan jumlah ahli Parlimen yang berkurangan tanpa menjejaskan korum atau peratusan undian parti masing-masing.

Sementara itu, PH juga berkata, kesan Covid-19 terhadap ekonomi negara amatlah besar, di mana begitu banyak syarikat perniagaan kehilangan pendapatan dan ramai yang mungkin kehilangan pekerjaan.

Menurutnya, dalam keadaan lengkuk wabak mulai landai dan semakin ramai yang dijangkiti beransur pulih, kebenaran beroperasi adalah satu langkah yang dialu-alukan, namun perlu dilaksana dengan waspada dan berhati-hati

Malah katanya, Majlis Peguam serta persatuan-persatuan perniagaan juga telah menggesa beberapa akta dipinda atau undang-undang baharu digubal bagi menangani masalah dan memastikan sektor ekonomi dapat berjalan dengan baik.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof pada 4 Mac lepas memberitahu persidangan Dewan Rakyat bersidang selama sehari pada 18 Mei iniĀ  ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).