Parti baharu gelombangnya lebih besar jika berlaku `grand coalition’, kata Mahfuz

Umno dan Barisan Nasional (BN)  tidak boleh menganggap kemunculan parti baharu melalui `grand coalition' tidak akan menjejaskan sokongan rakyat di negeri Kedah,Johor dan Sabah, kata Pengerusi Penyelaras Gerakan Selamatkan Malaysia Negeri Kedah Datuk Mahfuz Omar.

Parti baharu gelombangnya lebih besar  jika berlaku `grand coalition’, kata Mahfuz

Umno dan Barisan Nasional (BN)  tidak boleh menganggap kemunculan parti baharu melalui `grand coalition’ tidak akan menjejaskan sokongan rakyat di negeri Kedah,Johor dan Sabah, kata Pengerusi Penyelaras Gerakan Selamatkan Malaysia Negeri Kedah Datuk Mahfuz Omar.

Beliau berkata, kali ini penubuhan parti baharu yang diasaskan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu gelombangnya lebih besar daripada kemunculan parti Semangat 46 yang diasaskan oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

“Bila ada parti baharu akan berlaku satu gelombang yang akan dibanjiri di kalangan ahli akar umbi dan pemimpin Umno di peringkat cawangan dan bahagian di negeri terbabit untuk beralih memilih parti politik baharu itu.

“Gelombang kebangkitan ini bertambah kuat kerana dicetuskan oleh Mahathir dan disepakati Muhyiddin, Shafie dan Mukhriz yang menjadi mangsa politik kerana mereka berani menyuarakan  isu 1MDB dan terkini pendedahan oleh Jabatan Keadilan AS (DOJ) menjadi faktor penolak gelombang itu lebih kuat kali ini,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Pada 14 Julai lalu Dr Mahathir mengumumkan akan menubuhkan parti baharu yang mendapat sokongan di kalangan pemimpin Pakatan Harapan dan Pas.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, dikalangan rakyat yang akan memberikan sokongan terhadap usaha Dr Mahathir itu adalah dikalangan penjawat awam dan kelompok generasi baharu yang telah terdidik bahawa bekas perdana menteri itu adalah seorang tokoh negarawan terulung.

Beliau merujuk kepada situasi terkini Umno negeri Kedah selepas pemecatan bekas menteri besarnya oleh Majlis Tertinggi (MT) Umno Datuk Seri Mukhriz Mahathir pada 24 Jun lalu.

Walaupun tidak berlaku situasi ahli keluar parti sebagaimana beberapa bahagian Umno di negeri Johor dan Sabah selepas pengantungan dan pengistiharan keluar parti oleh Muhyiddin dan Shafei, tetapi Umno-BN negeri Kedah ujarnya, jangan menjangkakan parti itu dalam keadaan stabil di negeri Kedah.

“Saya pernah hadir beri ceramah saya lihat sokongan tim Tun Mahathir, Muhyiddin, Mukhriz dan Shafie cukup tinggi.

“Saya boleh katakan 90 peratus ahli Umno hadir mendengar ucapan bekas pemimpin mereka. Malah mereka tidak kisah melihat pemimpin parti lain duduk sepentas untuk membincangkan isu sama kepada rakyat.

“Jika mahu dibandingkan dengan Sabah sentimen Shafie dipecat daripada jawatan kabinet dan parti, mereka menganggap ia satu permainan politik pemimpin di Semenanjung untuk menjatuhkan pemimpin Sabah.

“Sentimennya itu kita lihat lebih besar pengaruhnya menjadi penyebab banyak ketua dan ahli mereka mereka di peringkat bahagian sudah mula keluar daripada Umno,” katanya.

Semenjak Shafie mengisytiharkan beliau keluar daripada Umno pada 4 Julai lalu secara rasmi Bahagian Semporna dan Batu Sapi mengumumkan pemimpin dan ahlinya diperingkat cawangan dan bahagian keluar Umno yang kemudian diikuti Kota Belud.

Pengerusi Biro Agama Bahagian Kota Belud, Hanjan Samit turut mengisytiharkan dirinya keluar Umno pada majlis sambutan hari raya yang turut dihadiri Shafei di Kampung Rampaian Laut Kota Belud pada Sabtu lalu.

Dilaporkan juga 13 Bahagian di Sabah bersedia untuk keluar daripada Umno untuk menunggu parti baharu yang bakal ditubuhkan di negeri itu di bawah kepimpinan Shafie.

Grand Coalition di kalangan pakatan pembangkang

Mahfuz menambah, iklim politik semasa tidak sama seperti dahulu bila isu penubuhan parti baharu menjadi sentimen dikalangan ahli dan pemimpin parti kerajaan dan pembangkang di negara ini.

“Politik tidak sama seperti dahulu. Persepsi orang melihat siapa yang memencilkan diri daripada arus politik perdana, kumpulan itu akan terpencil.

“Masyarakat mahukan perubahan dan akhirnya akan memberikan ruang kepada pemimpin yang mampu untuk membawa kekuatan kepada sebuah parti untuk diberikan peluang memimpin parti dan negara sekaligus dapat mewujudkan satu ‘grand coalition’ menentang kerajaan Umno-BN.

“Kalau dalam BN ada 13 parti boleh bergabung, jika ada ‘grand coalition’    kita dapat  memberikan nafas baru kepada satu gerakan politik negara untuk  anjakan perubahan daripada Umno-BN kepada satu gerakan baru melalui kerjasama antara parti baharu dan pakatan pembangkang.

“Saya harapkan dalam grand coalition’ ini kita jangan memikirkan soal kepentingan parti sendiri atau untuk ambil kesempatan. Perlu ada kompromi daripada apa yang tercetus.

“Sikap ini harus ada dikalangan pimpinan parti pembangkang. Apa guna bertanding  banyak kerusi tetapi tidak menang? soalnya.