Malaysia Dateline

Parti baharu Putra terima semua golongan masyarakat, ikut perlembagaan Umno lama

Presiden Penaja  Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra) Datuk Dr Ibrahim Ali memaklumkan, keahlian parti baharu itu akan dibuka kepada semua golongan masyarakat bumiputera.

Beliau berkata, dalam parti itu hanya kaum bumiputera yang boleh memegang jawatan dan mengundi, manakala ahli bersekutu yang bukan Islam tidak boleh memegang mana-mana jawatan, kecuali jawatankuasa kecil yang dibentuk untuk mengambil kepakaran dan pengalaman ahli bersekutu.

Katanya, ahli yang menganggotai Putra haruslah aktif dan sentiasa komited dalam perjuangan yang berteraskan kepada asas perlembagaan negara.

“Penyertaan ahli parti bermula daripada 18 sehingga 94 tahun dan terbuka kepada sesiapa, asalkan bumiputera. Bukan sahaja orang Melayu, tetapi semua kaum etnik bumiputera di negara ini diterima masuk ke dalam parti ini.

“Saya juga ingin memaklumkan, perlembagaan parti Putra ini adalah 95 peratus berasaskan perlembagaan Umno lama, iaitu perlembagaan Umno 1946.

“Selepas Umno ditubuh pada 1946, kita mengambil kira sejarah parti Umno lama ini dan kami lihat dari segi perlembagaannya, ia amat sesuai dan praktikal.

“Saya lihat masalah utama dalam dunia yang menimbulkan krisis dalam parti adalah mempunyai kepentingan diri dan gila kuasa.. bukannya mahu berkhidmat kepada masyarakat.

“Justeru, saya menumpukan kepada keahlian yang berkualiti. Kita (Putra) tidak akan berkompromi dalam perjuangan, sekali gus mengelak daripada menjadi pemimpin yang munafik dan menjadi buah mulut rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media mengenai parti itu, di Dewan Seminar Koperasi Telekom Malaysia Berhad, hari ini yang turut dihadiri Ketua Penerangannya, Mohd Khairul Azam Abdul Aziz.

Ketika ditanya wartawan sama ada parti yang diasaskannya itu akan menyebelahi parti kerajaan iaitu Pakatan Harapan (PH) atau pembangkang, beliau berkata pihaknya akan meneliti perkara itu berdasarkan keadaan politik semasa.

“Sama ada kita (Putra) akan menyokong kerajaan atau pembangkang, itu bergantung kepada keadaan semasa politik di negara kita.

“Tetapi buat masa sekarang, kami hanya akan memberi fokus kepada pelantikan organisasi terlebih dahulu,” katanya.

Semalam, Putra menjadi parti terbaru diluluskan pendaftarannya oleh Jabatan Pendaftar Pertubuhan Malaysia (Ros).

Surat kelulusan pendaftaran Putra ditandatangani oleh Pendaftar Pertubuhan Malaysia, Masyanti Abang Ibrahim, mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Peraturan-peraturan Pertubuhan 1984.

Terdahulu, pada 17 Ogos tahun lalu, Ibrahim secara rasmi mengumumkan penubuhan Putra bertujuan untuk memperjuangkan kepentingan Melayu dan Islam pasca Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).