Parti baharu: Sasaran tarik ahli Umno, pengundi atas pagar, Gen Y

Parti baharu: Sasaran tarik ahli Umno, pengundi atas pagar, Gen Y

Parti baharu yang diasaskan Tun Dr Mahathir dan akan diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kelak dijangka akan lebih menyasarkan keahliannya kepada menarik ahli Umno, pengundi atas pagar dan generasi Y sebagai ahli parti itu.

Parti baharu yang diasaskan Tun Dr Mahathir dan akan diterajui oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin kelak dijangka akan lebih menyasarkan keahliannya kepada menarik ahli Umno, pengundi atas pagar dan generasi Y sebagai ahli parti itu.

Bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan berkata, parti baharu itu kelak akan menyasarkan untuk  menarik lebih kurang 6juta orang dikalangan, generasi muda, pertubuhan,  dikalangan  tiada berparti, pengundi atas pagar dan ahli Umno.

“Kita akan tumpu kepada ahli Umno  dan pengundi atas pagar yang tidak puashati  dengan pemimpin atau parti.

“Kita juga beri tumpuan kepada Gen Y (Generasi Y)  kerana penubuhan parti baharu ini mendapat sambutan yang hangat dikalangan mereka.

Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan“Kita jangka  akan berhadapan dengan 6juta orang anak muda yang kebanyakannya daripada pertubuhan belia dan persatuan pelajar yang kini sudah tunjukkan minat mereka untuk masuk parti baharu ini,” ujarnya kepada Malaysia Dateline.

Beliau diminta mengulas mengenai dakwaan, Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Mohd Puad Zarkashi kenapa parti baharu tajaan Mahathir menjadi lewat didaftarkan.

Puad dipetik berkata,bekas perdana menteri itu bimbang tidak ada pemimpin sasarannya akan bersama-sama beliau dalam parti baharu; bekas Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat lebih gemar bersama PKR daripada menyertai parti baharu itu dan bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal pula dikatakan enggan menyertai parti baharu kerana tidak ada jaminan ia mempunyai ramai ahli lagi.

Dalam teori yang didakwa Puad itu, Khairuddin pula mendedahkan beliau berani untuk berkata, pergerakan kumpulan 4M itu (Mahathir, Muhyiddin,Mukhriz,Mohd Safie), sudahpun menubuhkan sekretariat tidak rasmi sejak penubuhan parti baharu itu diumumkan pada 14 Julai lalu.

“Kita sudah lama bekerja ke arah matlamat menubuhkan parti baharu.

“Sebenarnya pendaftaran ahli secara tidak rasmi sudah bermula sejak seminggu lalu diseluruh negara kerana ramai telefon kami minta borang nak daftar nama sertai parti baharu.

“Namun saya terpaksa keluarkan arahan pada Rabu lalu, untuk berhenti mengumpul nama-nama pra pendaftaran menjadi ahli sehingga parti baharu itu didaftarkan terlebih dahulu.

“Ini bagi tujuan mengelakkan data peribadi mereka disalah guna oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Semua pihak kena bersabar, hal ini sedang ditangani oleh Tun Mahathir, Tan Sri Muhyiddin dan  Datuk Seri Mukhriz.

“Kita lambat bukan tiada dapat ahli seperti kata Puad Zakarshi.

Khairuddin mahu semua pihak  bersabar penubuhan parti baharu sedang ditangani oleh Tun  Mahathir (tengah), Tan Sri Muhyiddin (kiri), Datuk Seri Mukhriz (kanan).“Kita kena buat perlembagaan, moto, logo, bendera parti terlebih dahulu sebelum nak daftar ke pendaftar pertubuhan.

“Kena kenalpasti juga siapa yang sesuai nak duduk dalam protem komiti terlebih dahulu. Kita tidak mahu cerita panjang lebar kerana kita tidak mahu orang baca gerak geri kita,” ujarnya.

Dilaporkan juga Muhyiddin akan menyerahkan borang permohonan kepada Pendaftar Pertubuhan (RoS) untuk mendaftarkan sebuah parti baru dalam masa terdekat.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan difacebooknya, Muhyidin dipetik berkata, mesyuarat penubuhan parti baharu yang diadakan di kediaman Tun Dr Mahathir Mohamad malam Rabu lalu.

Khairuddin yang juga Ahli Jawatankuasa Sekretariat Deklarasi Rakyat menegaskan, beliau yakin jika Deklarasi Rakyat berjaya mengumpulkan 1.2juta tandatangan dalam masa lima bulan, jumlah itu juga boleh diperolehi dalam jangka waktu yang sama untuk mendapatkan ahli parti baharu itu kelak.

” Saya nak kata pada Puad Zakarshi dan pemimpin Umno lainnya zip mulut mereka dan duduk diam-diam.

“Kalau lima bulan kita dapat kumpul 1.2 juta tandatangan dalam Deklarasi Rakyat, dalam masa singkat kita akan dapat 1 juta ahli daripada 6 juta itu untuk membuktikan bahawa sambutan hangat pada parti baharu ini,” tegas.

Parti baharu tidak terima bekas ahli parti lain

Muhyiddin (kanan) bersama Datuk Seri Wan Azizah Ismail dalam satu majlis yang disepakati untuk berkolaborasi dengan PKR untuk memberikan penerangan kepada rakyat.Menurut Khairudin lagi parti baharu itu kelak tidak akan mengambil atau membuka permohonan kepada ahli daripada parti pembangkang.

“Kita ada  persefahaman bersama, kita tidak akan ambil ahli parti rakan (parti pembangkang PKR DAP dan Amanah).

“Pada pendapat peribadi saya untuk ambil ahli Umno, atas pagar dan golongan yang diluar daripada parti pembangkang adalah yang terbaik.

“Kita tidak boleh ambil ahli daripada parti PKR, walaupun Tan Sri Muhyiddin di lihat berada di pentas PKR, kita kena ada semangat setia kawan dalam gabungan ini,” terangnya.

Ditanya tentang 20 orang daripada satu cawangan Umno di Melaka keluar parti dan melompat sertai parti Amanah, Khairuddin yang juga hadir di majlis tersebut, menganggap ia sebagai hak peribadi ahli Umno untuk memilih mana-mana parti.

“Sebagai sebuah negara demokrasi, itu hak mereka. Mereka tak sabar dan mahukan platform politik, biarkanlah apa salahnya, Amanah akan jadi rakan kita juga.

“Apa yang kita nak takut (hilang tarik sokongan ahli Umno) kerana kita ada lebih banyak lagi orang lain yang nak jadi ahli parti baharu.

“Sebab itu saya datang apabila Amanah jemput saya, kalau DAP dan PKR jemput pun saya datang kerana mereka kawan kita dan banyak bantu kita dalam deklarasi rakyat,” ujarnya.

Pada Sabtu lalu, seramai 20 ahli Umno cawangan Sungai Petai, Alor Gajah, Melaka menyerahkan borang permohonan untuk menyertai parti
Amanah di negeri itu.

Ahli jawatankuasanya Zainal Bujang yang mengetuai kumpulan tersebut menyerahkan borang sertai Amanah kepada presiden Amanah Mohamad Sabu dalam majlis jamuan hari raya Amanah Melaka di Dataran Amanah Alor Gajah.

TAGS