Parti baharu: Tunggu kenyataan rasmi Tun Mahathir, kata Mukhriz

Parti baharu: Tunggu  kenyataan rasmi Tun Mahathir, kata Mukhriz

Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir mengatakan masih terlalu awal untuk mengesahkan dirinya terbabit dalam mana-mana parti politik baharu.

Beliau diminta meengulas berhubung berita mengaitkan beliau bersama bapanya (Tun Dr Mahathir Mohamad) dan bekas Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang sedang mempertimbangkan penubuhan parti baharu bakal diterajui bapanya itu.

“Masih terlalu awal untuk saya sahkan pembabitan dalam mana-mana parti politik baharu, begitu juga penubuhannya seperti yang diperkatakan.” ujarnya seperti dilapor Sinar Harian hari ini.

Namun, beliau tidak menolak kemungkinan ada pengumuman akan dibuat Mahathir dan Muhyiddin.

“Perkara ini masih terlalu awal untuk diulas lanjut, lagipun ia melibatkan banyak perkara, semuanya masih dalam perbincangan.

“Tunggu kenyataan rasmi daripada Tun kerana keputusan itu nanti adalah satu pilihan terbaik daripada kami sebagai ahli parti yang dipecat,” katanya.

Mukhriz kini berada di London berkata, beliau akan memberi sokongan penuh kepada sebarang keputusan yang dicapai hasil perbincangan antara beliau, bapanya dan Muhyiddin.

“Kami bukan keluar parti tetapi dipecat, ianya cukup berbeza, lagipun sebagai pemimpin, kami kena fikir hala tuju baharu sebagai langkah mengukuhkan kedudukan, di samping memikul tanggungjawab yang diamanahkan rakyat,” katanya.

Hari ini, Mahathir akan mengadakan mesyuarat dengan beberapa pemimpin Pakatan Harapan di Yayasan Kepimpinan Perdana di Putrajaya, dipercayai bagi berbincang mengenai menubuhkan parti baharu dalam usaha menumbangkan Barisan Nasional pada pilihan raya umum akan datang.

Muhyiddin dan Mukhriz juga dijemput, bagaimana pun, kedua-dua bekas pemimpin Umno itu tidak akan hadir kerana kini berada di luar negara.

Bekas Naib Presiden Umno, Datuk Seri Shafie Apdal juga dijemput untuk menghadiri mesyuarat tersebut.