Malaysia Dateline

Parti baru Mahathir ada momentum sendiri, kata penganalisis

Parti baharu yang ditubuhkan Tun Mahathir bakal mencetuskan momentum besar jika berjaya menyatukan beberapa parti dalam satu gabungan yang baharu, demikian menurut penganalisis Dr Mohd Yusri Ibrahim.

Beliau berkata, keberadaan Tun dalam lanskap politik Malaysia bukan lagi ‘kecil anak’ bahkan berpotensi untuk merintis kolisi baru dengan parti-parti sedia ada dalam Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP dan AMANAH.

“Situasi ini akan membuka ruang kepada Tun untuk merintis kerjasama baru dengan pelbagai pihak sama ada Warisan di Sabah, GPS di Sarawak, kumpulan Azmin Ali dan kumpulan Hishamuddin dalam Umno,” katanya di hantaran Facebooknya hari ini.

Beliau tidak menafikan Tun seorang politikus licik dan berpengalaman, gerak politik beliau masih berpotensi memberi impak besar kepada politik tanah air.

“Sokongan ahli-ahli Bersatu terhadap Tun masih kuat, namun sokongan tersebut tidak boleh dijelmakan kerana Tun berada di luar parti.

“Apabila Tun menubuhkan parti baru, ini membuka ruang kepada penyokong beliau untuk keluar Bersatu dan menyertai parti baru ini,” katanya.

Lagipun katanya, masa depan politik Bersatu itu sendiri masih kabur apabila Perikatan Nasional gagal didaftarkan, dalam masa sama Umno terus menolak parti tersebut.

Ini sekali gus katanya, penubuhan parti oleh Tun menyediakan pentas baru kepada ahli-ahli Bersatu untuk meneruskan idealisme perjuangan selepas parti asal mereka itu seperti bertemu di jalan mati sekarang.

“Selain berusaha mendapat sokongan ahli-ahli Bersatu, saya percaya Tun akan merintis kolisi politik baru selepas parti beliau didaftarkan secara rasmi nanti,” katanya.

Jelasnya, kerjasama dalam kolisi yang kuat membolehkan parti beliau terus relevan untuk menghadapi PRU15, walaupun secara individu parti tersebut tiada sokongan kuat.

Beliau berkata, hubungan dalaman PH sekarang tidak cukup harmoni, tiada jaminan kukuh untuk memastikan Dap dan Amanah terus kekal di sana jika ada kolisi lebih kuat untuk disertai.

“Kedudukan PH sekarang juga tidak kuat apabila berlaku krisis dalaman yang semakin sukar untuk sembuh antara PKR dengan Dap dan Amanah.

“Dengan kondisi sekarang, saya percaya PH tidak memiliki momentum kuat untuk menyaingi PN/BN/MN dalam PRU15 akan datang, kekuatan PH sudah tepu.

“Ramai akan berbeza dengan pandangan saya ini, tidak mengapa, itu adalah normal dalam pengamatan politik, saya pun tidak memaksa perspektif saya ke atas orang lain,” tulisnya.