Malaysia Dateline

Parti dalam PN sudah jadi lembu kenyang dan syaitan bisu, dakwa Khalid

Parti-parti dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) disifatkan sebagai ‘lembu kenyang’ dan ‘syaitan bisu’ apabila berdiam diri dengan segala kebejatan yang dilakukan oleh kerajaan itu sekarang.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Samad berkata, ini kerana mereka hanya bising ketika tidak menjadi kerajaan tetapi membisu selepas berada dalam kerajaan.

Khalid mengulas perkara ini berikutan tindakan kerajaan menyerahkan lapan anggota kumpulan Abu Sayaf kepada pihak berkuasa Filipina.

Bagi ahli Parlimen Shah Alam itu, jika tindakan ini dilakukan ketika Pakatan Harapan memerintah negara, pelbagai kecaman akan dihamburkan kepada PH.

“Hmmm.. kalau dilakukan pada zaman kerajaan PH pasti parti penunggang agama akan bersuara.. “PH anti Islam” dan sebagainya.

“Tapi bila mereka jadi kerajaan bersama PN+BN, mereka bagaikan jadi pekak dan bisu. Segala prinsip telah mereka korbankan demi kuasa. Lembu kenyang, syaitan bisu..” tulis Khalid menerusi Twitter beliau.

Selain isu ini, Pas dan Umno yang selama ini penuh dengan retorik ketika PH memerintah turut diam membisu dalam pelbagai isu hatta memberikan justifikasi kenapa ia dilakukan.

Kelmarin Pas, melalui organ rasmi mereka, Harakahdaily memberikan justifikasi kenapa kapal terbang pengintip Isreal boleh masuk ke ruang udara Malaysia dengan berkata, kapal terbang itu tidak merayu dalam ruang udara Malaysia.

Ia berlaku apabila Kementerian Pengangkutan yang menterinya adalah Presiden MCA, Dr Wee Ka Siong mengesahkan kerajaan memberikan kebenaran kepada kapal terbang Israel menggunakan ruang udara Malaysia ketika Presiden Pas melancarkan kempen memungut derma untuk rakyat Palestin yang kini sedang diganyang oleh Israel.