Malaysia Dateline

Parti komponen yang tetapkan nama menteri, bukan PM

Nama-nama menteri dan timbalan perdana menteri yang dilantik ke dalam kabinet semalam ditetapkan parti-parti berkenaan bukannya oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abd Samad berkata, Barisan Nasional yang menamakan Datuk Seri Ahmad Zahid sebagai calon Timbalan Perdana Menteri (TPM) mereka.

Gabungan Parti Sarawak (GPS) pula yang menamakan Datuk Seri Fadilah Yusof sebagai calon TPM mereka dan ianya diterima, kata Khalid.

Begitu juga semua calon-calon lain yang namakan oleh parti komponen PH, BN, GPS, GRS dan sebagainya.

“Tiada usaha mendominasi oleh pihak PH atau DSAI dalam menamakan Menteri-menteri Kabinet. Hanya yang ditetapkannya adalah mungkin, menteri-menteri dari PKR,” katanya.

Menurut Khalid, DAP pula hanya meminta tiga Menteri Kabinet sebagai bukti tidak bercita-cita menguasai kabinet.

“Semuanya berjalan baik dan lancar atas kata sepakat,” kata Khalid mengulas perlantikan kabinet semalam.

Menurut Khalid, inilah kabinet kerajaan perpaduan sebenarnya dan bukan kabinet yang dipaksakan PH ke atas rakan-rakan kerajaan perpaduan.

“Semua parti diberi quota dan memberi nama mengikut pandangan parti bukan pandangan PH,” kata Khalid lagi.

Bagi beliau, semangat saling menghormati hak setiap parti adalah penting untuk menjamin hubungan yang berterusan.

“Semoga semua tidak terlepas pandang terhadap big picture atau gambar besar di mana di sana ada golongan fanatik dan ekstrimis yang sedang menunggu kegagalan kerajaan ini,” kata beliau.

BACA JUGA Anwar umum senarai Jemaah Menteri Kerajaan Perpaduan, lantik dua Timbalan Perdana Menteri