Malaysia Dateline

Parti lebih kuat diberi laluan bertanding, kata Annuar

Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mengingatkan perlunya parti yang lebih kuat diberi peluang untuk bertanding di mana-mana kerusi dewan undangan negeri (DUN) di Sabah dalam pilihan raya negeri (PRN) akan datang.

Ahli Majlis Tertinggi Umno itu berkata, Bersatu boleh bertanding seberapa banyak kerusi yang diinginkan merujuk kepada hasrat Bersatu untuk bertanding 45 kerusi DUN pada PRN nanti.

“Bersatu boleh bertanding seberapa banyak kerusi yang mereka mahu. Itu hak mereka. Cubalah. BN juga begitu.

“Namun, kalau mau straight fight (satu lawan satu) melawan Warisan, tentu kena berunding dan pastikan parti yang lebih kuat kita beri laluan untuk bertanding,” kata Annuar.

Terdahulu, hasrat yang mulanya disuarakan Pengerusi Bersatu Sabah Hajiji Noor itu mendapat reaksi Ketua Penerangan Umno, Shahril Sufian Hamdan.

Shahril secara sinis berkata, jika hendak bersahabat dengan Umno, buat cara bersahabat serta mengingatkan desakan dengan meletakkan calon sebanyak itu sebelum berunding bukan langkah berlandaskan kebijaksanaan atau keikhlasan.