Malaysia Dateline

Parti Melayu bergaduh, DAP pula yang salah

Kini, dulu dan selamanya, DAP pasti menjadi kambing hitam. Entah mengapa parti pelbagai kaum yang ditubuhkan pada Oktober 1965 dan didaftarkan pada 18 Mac 1966 itu menjadi kambing hitam politik Melayu, tidak sukar untuk difahami.

Walaupun mempunyai keahlian pelbagai kaum dan punya pemimpin dari pelbagai kaum, majoriti ahli dan pemimpin DAP terdiri daripada etnik Cina. Sememangnya orang Melayu sering dimomokkan dengan kemungkinan kuasa politik Melayu di negara ini akan terlepas ke tangan etnik Cina.

Sudahlah ekonomi negara dikuasai mereka, kuasa politik Melayu juga kononnya akan dikuasai bangsa Cina jika orang Melayu berpecah belah.

Inilah naratif yang sering digendangkan ke telinga orang Melayu oleh parti-parti berteraskan Melayu khususnya Umno dan parti serpihannya Bersatu. Dan kini, naratif yang serupa juga dimainkan oleh Pas, bekas sekutu DAP, yang kini bersekutu pula dengan Umno dan PPBM.

Berdasarkan fakta, sama ada dari segi komposisi penduduk, persempadanan pilihan raya, malah kadar kelahiran berdasarkan kaum, naratif Cina menguasai politik itu hanyalah dongengan.

Namun dongengan itu menjadi senjata berkesan untuk parti-parti Melayu termasuk Pas bagi menakut-nakutkan orang Melayu guna meraih sokongan politik.

Ketika DAP menjadi momokan, lain-lain parti Cina terutamanya MCA dan parti majoriti ahli Cina seperti Gerakan tidak pula dianggap sebagai ancaman kepada politik Melayu. Ini kerana MCA dan Gerakan adalah komponen BN, parti yang menerajui negara hampir enam dekad lamanya.

Malah MCA dan Gerakan dianggap bukan ancaman kerana kerusi yang ditandingi parti-parti itu jauh lebih kecil daripada parti-parti Melayu. Ironinya, di mana MCA dan Gerakan bertanding, di situlah DAP akan meletakkan calon.

Ganjil bagi DAP meletakkan calon di kawasan pilihan raya majoriti Melayu apatah lagi bertanding melawan calon-calon dari Umno mahupun Pas. Jika calon BN daripada MCA dan Gerakan kalah, DAP akan muncul sebagai pemenang; begitulah sebaliknya.

Naratif politik perkauman jadi darah daging ahli politik

Naratif politik perkauman sememangnya mendarah daging dalam kalangan ahli-ahli politik veteran. Namun kemunculan parti-parti politik pelbagai kaum seperti PKR sedikit sebanyak mengendurkan politik perkauman ini.

Kemunculan tokoh-tokoh muda politik yang terpelajar dan berfikiran terbuka juga diharap dapat membuka jalan kepada politik yang lebih sihat, bertanggungjawab dan jauh dari sentimen kaum dan agama.

Namun harapan menggunung untuk melihat politik negara ini bebas dari eksploitasi kaum dan agama seakan tidak kesampaian apabila parti-parti berteras Melayu bercekcok sesama sendiri untuk merebut sokongan.

Apa yang dikesalkan, para pemimpin muda mereka juga tidak terlepas daripada naratif perkauman sempit ini sedangkan pada merekalah kita sandarkan harapan untuk mengislahkan politik negara yang sedia sarat dengan sentimen perkauman dan agama.

Pemimpin muda Bersatu yang menjawat ketua penerangan nasional, Wan Saiful Wan Jan menyifatkan sesiapa sahaja yang mahu Perikatan Nasional (PN) berpecah dan lemah sebagai ‘ejen DAP dan Pakatan Harapan’.

Menyokong kenyataan Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, Wan Saiful berkata perpecahan undi Melayu akan menyebabkan ketidakstabilan politik yang berlarutan dan sekali gus menyumbang kesusahan kepada rakyat.

“Dalam keadaan kita tahu bahawa DAP dan PH memang mahukan undi Melayu terpecah untuk mereka kembali berkuasa, sudah pasti seruan untuk menjaga muafakat politik ini mesti dipandang serius oleh semua yang ikhlas.

“Bagi saya, sesiapa sahaja yang sengaja mahu kita berpecah dan mahu kita lemah, maka mereka adalah ejen DAP dan PH.

“DAP dan PH memang mahukan penjajaran baru yang melemahkan kita. Agen-agen mereka mungkin datang dalam pelbagai bentuk,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook awal Mac lalu.

Jika inilah naratif yang diutarakan Wan Saiful, seorang lulusan Middlesex University London, harapan untuk melihat politik berasaskan perkauman dan agama di negara ini mereda bakal menghadapi cabaran yang besar.

Malah politik gaya lama yang sering didendangkan para pemimpin veteran Umno, Bersatu dan Pas ini semacam diwarisi oleh pemimpin-pemimpin muda parti-parti tersebut.

Seperti dijelaskan sebelum ini, tiada sebarang bukti impirikal yang menunjukkan DAP menjadi ancaman kepada kuasa politik Melayu.

Pada PRU ke-14 (2018), DAP cuma bertanding di 46 kerusi berbanding 222 kerusi parlimen. Terdapat 55 kerusi Parlimen yang majoritinya pengundi Cina. Namun menurut sebuah firma analitik media sosial Politweet, pada PRU-13 (2013), terdapat 30 kerusi majoriti Cina yang membentuk 13.5 peratus daripada keseluruhan kerusi parlimen di negara ini.

Bagaimanapun sebuah kumpulan pemerhati pilihan raya, iaitu Tindak Malaysia mendakwa bilangan kerusi majoriti Cina menurun kepada 24, yang kebanyakannya di kawasan bandar besar Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Johor, Sarawak dan Sabah.

Hakikatnya, DAP atau kawasan majoriti Cina bukan penentu sebenar keputusan pilihanraya apatah lagi menguasai politik negara.

Ini kerana daripada 222 kerusi Parlimen, terdapat 155 kerusi luar bandar yang dikuasai Melayu/Bumiputera berikutan persempadanan semula kawasan pilihan raya dan bakinya kawasan pinggir bandar.

Oleh itu, penentu sebenar politik negara masih di tangan pengundi Melayu/Bumiputera, sekali gus juga memberi gambaran bahawa parti yang berteraskan Melayu dan Islam, tetap mengungguli kuasa penentu politik negara.

Pembentukan kerajaan cuma memerlukan 112 kerusi bagi majoriti mudah. Daripada 222 kerusi parlimen, Sarawak mempunyai 31 kerusi manakala 25 kerusi parlimen di Sabah.

Oleh kerana itulah kita lihat parti-parti berteras Melayu di Semenanjung iaitu Umno, PPBM dan Pas kini sedang bertegang untuk menentukan kerusi yang bakal ditandingi.

Walaupun masing-masing bergabung dalam Perikatan Nasional (PN) dan Maufakat Nasional (MN) atas slogan ‘perpaduan ummah’ dan ‘perpaduan Melayu’, masing-masing mempunyai hasrat untuk bertanding di kawasan yang sama.

Paling tegang tentulah Umno dan parti serpihannya Bersatu sehingga perang terbuka antara dua parti Melayu itu bukan menjadi satu rahsia. Pas pula lebih bersikap ‘berkecuali’ kerana bermain dalam dua kolam – PN dan MN.

Walaupun parti itu mahu mengukuhkan kerjasama dengan Bersatu dalam PN setelah ‘dibelasah’ teruk dalam Perhimpunan Agung Umno, tidak mustahil untuk parti pimpinan Abdul Hadi Awang itu membuat keputusan mengejut untuk kekal bersama Umno dalam MN. Hujahnya tetap sama – perpaduan ummah!

Jadi tidak wajar bagi mana-mana pemimpin muda dalam Umno, Bersatu dan Pas untuk menyalahkan DAP jika mereka gagal mencapai konsensus bagi menghadapi pilihan raya.

Memainkan sentimen kaum dan agama ketika negara berhadapan cabaran ekonomi dan keselamatan serantau adalah sesuatu yang tidak bijak.

Biarlah rakyat memilih dengan adil dan saksama mana-mana gabungan politik yang layak mentadbir negara tanpa dihantui sentimen kaum dan agama. Jika tidak, negara kita akan terus ketinggalan berbanding negara-negara jiran khususnya Indonesia yang kini meraih kemajuan hasil reformasi sistem politik dan pentadbirannya.