Parti-parti komponen PH terbukti bekerjasama dengan baik, kata Tun M

Parti-parti komponen PH terbukti bekerjasama dengan baik, kata Tun M

Selepas tujuh bulan mengambil alih tampuk pemerintahan negara, parti-parti komponen dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) terbukti dapat bekerjasama dengan baik, kata Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau berkata perkara ini sekali gus menyangkal sangkaan sesetengah pihak yang mendakwa parti-parti komponen dalam kerajaan PH tidak boleh bekerjasama.

“Walaupun ada sangkaan kita tidak boleh bekerjasama tetapi kerajaan PH dapat berjalan dengan berkesan dan kita membincangkan perkara-perkara dan ambil tindakan bersama, jadi sangkaan kita tidak boleh bekerjasama tidak benar sama sekali,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di Menara Yayasan Selangor, di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain, Dr Mahathir berkata PH akan mengumumkan jumlah wang yang dikutip pada jamuan malam yang akan diadakan esok di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) kerana tidak mahu kutipan wang tersebut dianggap sebagai rasuah.

Namun, beliau berkata pihaknya tidak akan mengumumkan nama individu yang memberi sumbangan dan jumlah yang disumbangkan pada majlis jamuam malam bagi mengumpul dana untuk menguruskan parti itu.

“Kami akan umum jumlah wang dipungut tetapi tidak akan mengumumkan siapa yang memberi dan banyak mana dia memberi. Tetapi percayalah ini bukan ber’milion-million’ (berjuta-juta). Cuma masing-masing beri mungkin puluhan ribu dan jumlahnya mungkin tidak banyaklah. Jadi ini kita kena isytihar awal supaya tidak dituduh terima duit rasuah,” katanya.

Dr Mahathir turut menegaskan bahawa penganjuran majlis jamuan malam untuk memungut wang turut dilakukan oleh mana-mana persatuan dan organisasi.

“Jadi kita terpaksa pungut wang untuk pentadbiran parti kita tetapi kita khuatir jangan kutipan wang ini dianggap sebagai rasuah kerana kita tidak akan beri peluang kepada sesiapa pun, kerana mereka beli meja atau buat derma atau beli barang-barang dilelong semasa majlis makan malam itu,” katanya.

— BERNAMA