Malaysia Dateline

Parti politik baharu akan ditubuhkan?

Bagi seorang individu yang begitu aktif terlibat dalam satu rampasan kuasa awal tahun ini, adalah aneh untuk Tan Sri Muhyiddin mendakwa kononnya orang ramai sudah meluat dengan politik dan sebaliknya mahu kerajaan bekerja keras demi rakyat.

Orang ramai boleh melihat bahawa watak-watak utama dalam kerajaan ‘gabungan anak ayam’ Perikatan Nasional (PN) lah yang sedang berebut kedudukan dan kuasa sambil negara berdepan krisis wabak Covid-19.

Barangkali Perdana Menteri membuat kenyataan sedemikian dalam usahanya untuk menyembunyikan hakikat bahawa pada ketika ini, beliau berada dalam keadaan yang amat berbahaya walaupun mempunyai kuasa besar sebagai ketua kerajaan.

Kenapa saya kata begini? Kita mulakan dengan satu kisah benar. Saya dan Lim Kit Siang bergegas pulang dari acara di Johor pada 25 Julai 2015 atas permintaan Setiausaha Agung Parti Keadilan, Saifuddin Nasution Ismail untuk satu perbincangan tergempar. Sebagai sekutu rapat, kami memang sering berbincang, terutamanya apabila ada perkembangan penting dalam politik negara.

Saifuddin memberitahu kami bahawa beliau mendapat khabar yang Peguam Negara Abdul Gani Patail akan mendakwa Perdana Menteri Najib Razak atas kesalahan salahguna kuasa dalam kes SRC pada minggu berikutnya. Kit Siang berfikir seketika dan bertanya kepada kami: “Adakah Najib akan menunggu sahaja membiarkan dirinya di’sembelih’?”

Tiga hari kemudian, pada 28 Julai 2015, Gani, Muhyiddin dan Shafie Apdal dipecat daripada kerajaan Barisan Nasional.

Berbalik ke hari ini. Muhyiddin sedang mentadbir gabungan lemahnya ini dengan kewujudan 10 puak dalam PN.

Ada empat puak dalam parti Bersatu – mereka yang masuk pada tahun 2016; mereka yang masuk Bersatu dari Umno selepas Pakatan Harapan menang dalam PRU 2018; kumpulan Azmin Ali; dan penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad yang mampu menimbulkan masalah dalam pemilihan parti yang nampaknya telah dilengahkan ekoran krisis Covid-19.

Empat puak lagi adalah kumpulan-kumpulan bertelagah dalam Umno; setiap satunya dipimpin Najib, Ahmad Zahid Hamidi, Hishammuddin Hussein, dan kumpulan tak berpihak yang dianggotai Mohammad Hassan serta Khairy Jamaluddin.

Dua puak lagi ialah PAS dan Gabungan Parti Sarawak.

Pilihan-pilihan Muhyiddin

Sebaiknya, Muhyiddin akan mahu menghapuskan penyokong Mahathir, dan mencari jalan supaya Bersatu tidak menjalankan pemilihan parti. Beliau akan mahu menghindar cabaran Mukhriz untuk kerusi presiden, yang walaupun sukar untuk Menteri Besar Kedah itu menang, namun tidaklah begitu mustahil.

Muhyiddin juga tahu bahawa daripada empat puak Umno, beliau hanya boleh percayakan puak Hishammuddin.

‘Pemberontak’ PKR, Azmin Ali sedang berharap untuk mempunyai struktur parti bagi beliau memainkan peranan penting dan untuk membawa masuk penyokong akar umbinya yang sekarang tidak mempunyai induk politik kerana Bersatu berada dalam keadaan tergantung. Beliau juga perlu mewujudkan ruang untuk penyokong bukan-Melayu yang tidak lagi dialu-alukan dalam PKR serta tidak mampu ke mana-mana.

Bagi mengabsahkan kerajaan Muhyiddin, beliau perlu menunjukkan bahawa kerajaannya bersih. Pengundi, terutamanya golongan penentu atas pagar dalam kalangan orang Melayu, amat menghargai soal integriti, selain soal kesejahteraan ekonomi.

Selain menjamin peluang pekerjaan dan kesejahteraan ekonomi untuk rakyat Malaysia, Perdana Menteri turut perlu menunjukkan kepada pengundi bahawa beliau komited membanteras rasuah, jika tidak beliau tidak akan meraih keabsahan moral kerana melancarkan rampasan kuasa terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang dilantik secara demokratik.

Untuk meyakinkan orang ramai, beliau perlu menunjukkan komitmennya menentang rasuah dengan membiarkan keadilan terlaksana – supaya Najib dan Rosmah Mansor, Tengku Adnan dan Zahid Hamidi disumbat ke penjara apabila mereka didapati bersalah atas tuduhan rasuah di mahkamah.

Masalahnya, mampukah beliau berbuat demikian tanpa diserang Umno?

Jika menanti keputusan mahkamah terlalu berisiko, adakah Muhyiddin akan memilih untuk memutuskan hubungan dengan Umno dan Bersatu pada masa yang sama sebelum pembesar-pembesar Umno sempat melawan?

Parti baharu?

Ada cakap-cakap kononnya Muhyiddin, Azmin dan Hishammuddin sedang mencuba untuk menubuhkan parti baharu. Bagi mereka, ini mungkin satu penyelesaian yang bijak untuk semua masalah di atas. Tidak perlu bimbang tentang pemilihan Bersatu, penyokong Azmin ada rumah baharu, dan puak Hishammuddin dapat menghadirkan sokongan sebenar yang diperlukan Muhyiddin.

Pun begitu, ada dua cabaran terhadap perancangan ini.

Pertama, Muhyiddin hanya memiliki sokongan 113 atau 114 kerusi, maksimum. Jika Ahli-ahli Parlimen parti-parti Pakatan Harapan (PKR, DAP, Amanah) dan Warisan, serta kumpulan Mahathir dalam Bersatu kekal bersama; Muhyiddin tiada ruang untuk berkuntau.

Jika Muhyiddin, Azmin dan Hishammudin berjaya memecahkan gabungan ‘Pakatan plus’ ini, mereka akan mampu menubuhkan parti baharu tanpa memerlukan puak Najib dan Zahid. Mengikut perkiraan mereka, barangkali masih perlu menggoda beberapa Ahli Parlimen PH untuk menyertai mereka.

Kedua, Muhyiddin mesti berhati-hati dengan Umno Johor. Pemimpinnya begitu bersemangat untuk mendapatkan semula kuasa yang mereka hilang dalam PRU lalu.

Nasihat saya buat Perdana Menteri (yang dahulunya saya bekerja begitu rapat bersama beliau, dan banyak berbincang dengan penuh jujur ketika kami bekerjasama dalam PH) ialah: Umno mungkin sahaja memperdaya beliau di Johor.

Pilihan raya mengejut di Johor mungkin mengakhiri hayat Bersatu di negeri itu, malah Muhyiddin juga mungkin kehilangan kerusinya di DUN Bukit Gambir.

Di tengah arus politik yang deras ini, Muhyiddin lah yang mungkin memulakan sesuatu untuk menewaskan lawannya dalam Umno. Atau mungkin Umno Johor yang memulakan serangan terhadap Perdana Menteri.

Bagi Pakatan Harapan dan rakan-rakan sekutu yang memilih untuk kekal bersama, seperti Warisan dan kumpulan pro-Mahathir dalam Bersatu; kita mesti kekal bersama. Rakyat Malaysia yang mengundi Pakatan Harapan demi kerajaan yang bersih serta peluang ekonomi yang lebih baik akan terus menyokong kita.