‘Parti saya masih ada tahaluf siyasi dengan Pas’

Naib Presiden PKR, Tian Chua menegaskan kehadirannya sepentas dalam ceramah anjuran Pas tidak harus dipertikaikan kerana partinya masih mempunyai kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan Pas.

‘Parti saya masih ada tahaluf siyasi dengan Pas’

Naib Presiden PKR, Tian Chua menegaskan kehadirannya sepentas dalam ceramah anjuran Pas tidak harus dipertikaikan kerana partinya masih mempunyai kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan Pas.

“Itu hak saya (untuk hadir). Parti saya masih ada tahaluf siyasi dengan Pas. Kita mempertahankan pendirian PKR. Kita bertahaluf siyasi dengan Pas.

“Jadi, apa isunya? Amanah pun tidak pernah pertikaikan perkara ini,” ujarnya ketika dihubungi Malaysia Dateline apabila diminta mengulas kecaman sebahagian penyokong Pakatan Harapan berhubung penyertaannya dalam ceramah Pas di Shah Alam, 14 Januari lalu.

Beliau juga memberitahu kedatangannya dalam program Pas sebelum ini adalah kerana memenuhi undangan dan bergantung pada masa terluang.

“Ibarat saya pergi kenduri orang Umno, mahu saya jawab juga? Seumpamanya begitulah. Jadi, macam mana?

“Apa-apa program pun kalau saya dijemput, saya ada masa lapang, saya pergilah,” jelasnya apabila ditanya tentang kewajaran beliau untuk masih hadir ke program anjuran parti yang dikepalai Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Batu itu berkata, ramai pemimpin PKR bahkan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tan Sri Muhyiddin Yassin turut hadir dalam majlis anjuran Pas.

“Tiada isulah (ceramah di pentas Pas). Pergi tanya Muhyiddin. Muhyiddin juga berceramah di (pentas) Pas. Ramai lagilah. Jangan (bawa) benda-benda remeh.

“Kenapa perlu target saya? Ramai lagi pemimpin Keadilan hadir program Pas,” tegasnya lagi walaupun beliau kemudiannya enggan menjawab sama ada sokongan terhadap aktiviti anjuran Pas itu akan diteruskan atau tidak sehingga Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Pas relevan PRU14? 

Ditanya lagi situasi Pas yang menolak Amanah dan DAP sekaligus sokongan ke atas parti itu tidak banyak membantu mengukuhkan Pakatan Harapan, Tian menganggap paling penting dibuat adalah memperluas pengaruh pembangkang di peringkat akar umbi.

“Kita memang mengukuhkan Pakatan Harapan. Kalau kita pergi kawasan Felda yang dikuasai Umno atau kawasan yang orang Umno jemput untuk sepentas, kita pergi sebab kita mahu perkembangkan pengaruh. Kalau tidak, bagaimana kita mahu menang (PRU14),” tegasnya.

Walau bagaimanapun, beliau mengakui tidak tahu sama ada Pas masih relevan dalam mendepani PRU14 kerana menganggap hal itu tidak mempunyai kaitan dengannya.

“Saya tidak tahu. Perkara ini tidak boleh saya pastikan. Ini tiada kena-mengena dengan saya. Itu kamu kena tanya Pas. Tak bolehlah saya jawab bagi pihak Pas,” tambahnya lagi.

Terdahulu, Tian berucap di pentas Pas Cawangan Seksyen 17 Shah Alam pada 14 Januari lalu serentak dengan majlis pelancaran rasmi PPBM di Stadium Malawati, ibu negeri Selangor itu.

Kehadirannya mengundang rasa tidak puas hati rata-rata netizen dipercayai penyokong Pakatan Harapan yang antara lain menyarankan Tian bertanding di Parlimen Marang yang kini disandang Abdul Hadi.

Beliau bagaimanapun sebenarnya turut hadir program PPBM itu selain Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Timbalannya, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Tian Chua bersama Timbalan Pesuruhjaya III Pas Kelantan Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan tengah pada program Sabtu 14 Januari lalu

Artikel berkaitan:

Penyokong Pakatan Harapan kecam Tian Chua masih sepentas dengan Pas