Malaysia Dateline

Parti suci saja yang bertanding pilihan raya untuk kalah

Ahli Parlimen Sepang, Mohamad Hanipa Maidin berkata, di Malaysia ini hanya Pas sahaja yang paling yakin masuk pilihan raya untuk dikalahkan.

Sebab apa katanya, walaupun Pas tidak bersama Pakatan Harapan (PH) tetapi parti itu bernafsu besar ingin bertanding banyak kerusi, hatta kerusi-kerusi DAP dan PKR.

Beliau berkata demikian merujuk kepada Malaysiakini yang melaporkan bahawa seorang pemimpin Pemuda Pas di Kelantan mempertikaikan tindakan Amanah Kelantan untuk meletakkan Ketua Pemuda Amanah Kelantan bertanding di kerusi Dun Panchor bagi melawan Naib Presiden Pas.

Pemimpin Pemuda Pas itu kata Hanipa, menyimpulkan bahawa AMANAH Kelantan atau Datuk Husam Musa sebenarnya tidak yakin kerusi itu boleh dimenangi AMANAH, justeru AMANAH meletakkan calon lain iaitu Ketua Pemudanya dengan andaian jika beliau kalah tidak mengapa.

Secara tersirat katanya lagi, pemimpin Pemuda Pas itu mahukan Datuk Husam Musa yang menentang Naib Presiden Pasi di Dun Panchor tu.

“Saya rasa dalam politik Malaysia, yang paling ‘confident’ (yakin) masuk pilihan raya sondol leher untuk disembelih hanya parti suci je, sebab apa, sebab walaupun tak bersama PH, nafsu besar nak bertanding banyak kerusi hatta di kerusi DAP dan PKR.

“Bila presiden parti acapkali kata tak kisah menang atau kalah pilihan raya, logiknya parti suci lah yang dilihat nak bertanding pilihan raya hanya untuk suka-suka bertanding, ya lah kalah pun tak pe,” kata Hanipa dalam Facebooknya.

Hanipa selanjutnya berkata, ramalan dan bacaan beliau dalam keadaan politik sekarang dan dalam keadaan gaya politik Pas sekarang yang dilihat amat mesra dengan Umno-BN dan selalu memberi “nyawa” kepada Umno-BN, setinggi mana pun tokoh mereka dicalonkan oleh Pas, yang wajar menentang tokoh itu cukup sekadar mana-mana ahli biasa sahaja di mana-mana cawangan AMANAH.