Pas ajak PKR ke blok ketiga, bukan bersama DAP semula

Pas ajak PKR ke blok ketiga, bukan bersama DAP semula

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah lebih suka kalau PKR yang bergabung dengan parti itu dalam blok ketiga yang ditubuhkan bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan) pada Mac lalu.

“Kalau tanya saya, saya suka nak ajak PKR untuk join (bersama) kami dalam blok ketiga. Tetapi, setakat ini belum ada apa-apa perbincangan lagi (dengan PKR),” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Beliau berkata demikian selepas hadir menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Kelantan Utilities Mubaarakan Holding Sdn. Bhd. dengan Rising Promenade Sdn. Bhd. di Hotel Intercontinental Kuala Lumpur, hari ini.

Dr Zuhdi MarzukiKenyataan Nik Amar disokong oleh Pengarah Pusat Penyelidikan Pas (PPP), Dr Mohd Zuhdi Marzuki yang berkata tanpa DAP, pihaknya melihat gabungan Pas, PKR dan parti-parti lain seperti Ikatan mampu membawa kesan besar termasuk menukar kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang.

“Keputusan PKR untuk bersama Pas dan blok barunya atau Pakatan Harapan (PH) tidak boleh ditangguh-tangguhkan lagi dengan pengertian lain ‘strategi melambat-lambatkan permainan’ akan menjadi tidak relevan dalam tempoh sebulan dua mulai sekarang,” katanya kepada FMT hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Azmin yang menyarankan Pas kembali bersama DAP dan PKR sebagai sebuah pasukan untuk menghadapi PRU14.

Zuhdi menjelaskan parti itu masih mematuhi keputusan Majlis Syura Ulama PAS yang menetapkan hubungan tahaluf siyasi antara PAS dan DAP telah terputus manakala hubungan dengan PKR masih terjalin.

“Berdasarkan pemantauan PPP terhadap kenyataan-kenyataan pimpinan Pas dan PKR didapati Pas tidak pernah meninggalkan PKR tetapi PKR yang kelihatan menjauhkan diri daripada Pas,” katanya.

Semalam, Mohamed Azmin ketika mengulas keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-11 yang hanya menyaksikan DAP menang tujuh kerusi dan PKR tiga kerusi, mengajak Pas untuk kembali bersama Pakatan Harapan (PH) sebagai satu pasukan bagi menghadapi PRU14.

Beliau dilaporkan berkata, semua parti pembangkang perlu bermuhasabah diri atas kekalahan teruk pembangkang pada PRN Sarawak Sabtu lalu, yang jelas menunjukkan rakyat negeri itu menolak pertelingkahan sesama mereka.

Namun begitu, Pas Selangor pula mengakui kerjasama antara parti itu dengan DAP dan PKR masih berjalan di dalam kerajaan negeri walaupun Pas sudah memutuskan hubungan dengan DAP hatta menganggap parti itu sebagai musuh.

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Iskandar Samad dalam kenyataannya sebagaimana yang disiarkan Harakahdaily berkata,  “Bagi kami di Selangor, kerjasama di antara ketiga-tiga parti masih terus berjalan di dalam kerajaan.”

Iskandar mengulas cadangan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri  Mohamed Azmin Ali agar Pas kembali bekerjasama dengan PKR dan DAP.

Beliau berkata, perkara ini hanya boleh diputuskan oleh Pas Pusat.

“Pas Selangor yakin dengan kebijaksanaan dan pandangan jauh Pas Pusat yang akan mengambil kira situasi di negeri-negeri,” katanya.

TAGS