Pas akan ambil tindakan disiplin jika ahli termasuk Husam jejaskan parti

Pas akan ambil tindakan disiplin jika ahli termasuk Husam jejaskan parti

Setiap individu dalam Pas yang melakukan tindakan menjejaskan parti terdedah kepada tindakan disiplin sama ada diberi amaran, digantung keahlian atau dipecat, sebagaimana tindakan yang diambil jawatankuasa disiplin parti  ke atas bekas Naib Presiden Pas Datuk Husam Musa,  kata Ketua Dewan Ulamak Pas Pusat Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beliau berkata,  Husam telah dirujuk kepada jawatankuasa disiplin parti bagi diambil tindakan yang sewajarnya.

“Semua orang yang melakukan perkara yang menjejaskan parti boleh terdedah kepada tindakan disiplin sama ada amaran, gantung atau pecat.

“Kes Datuk Husam telah diserahkan kepada jawatankuasa disiplin untuk diambil tindakan yang patut,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kenyataan Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Husam berdepan tindakan digantung atau dipecat daripada parti itu berikutan tindakannya mencabar dan mengkritik Pas.

Hadi berkata, beliau telah mengarahkan jawatankuasa disiplin parti supaya memanggil Husam dan menjalankan siasatan berhubung perkara itu.

Mengulas lanjut, Khairuddin berkata, ahli Pas sudah boleh menilai sama ada tindakan bekas naib presiden Pas itu menguntungkan atau merugikan parti.

“Ahli-ahli Pas sudah boleh menilai sejauh mana tindakan beliau menguntungkan atau merugikan parti,” katanya yang juga Ahli Jawatankuasa Majlis Syura Ulamak Pas.

Husam sebelum ini menyatakan kesediaan berdepan jawatankuasa disiplin parti  dan menunggu menunggu kertas pertuduhan rasmi ke atasnya bagi membolehkan beliau menyediakan pembelaan sewajarnya.

Tindakan terhadap Husam timbul selepas beliau dilaporkan menggesa Naib Presiden Pas Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dan Setiausaha Agung  Datuk Takiyuddin Hassan meletakkan jawatan.

Husam mendakwa Mohd Amar dan Takiyuddin telah gagal meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 di Parlimen untuk membuka jalan bagi pelaksanaan hudud di Kelantan.

TAGS