Pas akan lancar himpunan bantah iktiraf hak asasi manusia acuan barat

Pas akan lancar himpunan bantah iktiraf hak asasi manusia acuan barat

Pas akan melancarkan himpunan membantah tindakan kerajaan yang akan meratifikasi enam triti berkaitan berkaitan Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada Suku Pertama tahun 2019.

Ketua Penerangan Pas Pusat Nasrudin Hassan dalam kenyataannya berkata, setelah Pas memperincikan beberapa maklumat berkaitan enam perjanjian tersebut, banyak perkara yang melibatkan Perlembagaan Persekutuan akan terancam terutamanya mengenai International Convention on the Elimination of All Forms of Racial Discrimination (ICERD) dan International Covenant on Civil and Political Rights (ICCPR).

Bahkan katanya, isu-isu kebebasan untuk murtad serta penghapusan hak keistimewaan orang Melayu dan bumiputera akan tergadai sekiranya negara meratifikasi perjanjian-perjanjian ini.

Tambahan pula, tegas beliau semua peruntukan perjanjian akan tertakluk kepada kehendak PBB akhirnya negara akan terikat, tunduk dan dikawal oleh kuasa luar secara tidak langsung.

“Oleh itu, Jika kerajaan meneruskan hasrat mereka, maka Pas bertekad untuk melancarkan satu bantahan secara besar-besaran dan akan mengadakan Himpunan Bantah Pengiktirafan Hak Asasi Manusia Acuan Barat dalam masa terdekat,” kata beliau.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P. Waytha Moorthy berkata, kerajaan komited untuk mengesahkan enam triti hak asasi manusia termasuk Konvensyen Antarabangsa mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada suku pertama tahun depan.

Komitmen untuk melaksanakan hal tersebut juga dikatakan selaras dengan manifesto Pakatan Harapan.

 

COMMENTS

Wordpress (0)