Pas akan memperkasakan muafakat dengan rakan yang sedia menerima dasar yang dibawa oleh parti itu dan akan membina kekuatan blok Gagasan Sejahtera walaupun menerima pelbagai cemuhan.
Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dalam kenyataannya berkata, bagi PAS, ia lebih senang berpakat dengan yang jujur dari yang hanya ingin mengambil kesempatan dalam muafakat.
Tanpa menyebut pihak yang hanya ingin mengambil kesempatan dalam muafakat itu, Tuan Ibrahim berkata, Pas akan membawa rahmat kepada semua dengan Islam.
“PAS terus melangkah ke hadapan dengan matlamat membawa rahmat kepada semua dengan Islam,” kata Tuan Ibrahim dalam kenyataannya itu yang menjadi tanda tanya kerana ia sama dengan tema Amanah, Rahmat Untuk Semua.
Perjuangan Pas juga, katanya, bukan hanya ingin menjatuhkan seorang pemimpin dan mengekalkan sistem yang korup, rasuah yang merompak jatidiri rakyat Malaysia.
“Perubahan sistem bukan hanya berlegar kepada sistem sekular yang sama, yang hanya menukar nama. PAS inginkan perubahan kepada sistem yang beraksi kepada kebenaran dan keadilan sebagaimana yang diwahyukan Allah,” katanya.
SERANGAN RAKAN TAHALUF
Menurut beliau, ketika PRN Sarawak, PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Pas diserang dengan hebat dari pelbagai penjuru.
“Serangan dari kawan yang masih bertahaluf pun tidak kurang juga hebatnya, maklumlah dah dapat rakan baru yang kononnya dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan Pas,” kata Tuan Ibrahim yang dipercayai ditujukan kepada rakan tahalufnya, PKR yang kini bersama dalam Pakatan Harapan.
Selepas Pakatan Rakyat pecah, PKR bersama DAP dan Amanah, parti yang berasal dari Pas, menubuhkan Pakatan Harapan.
“Hari ini, PAS dan Presiden PAS dijadikan “punching bag” dengan pelbagai tuduhan kurang enak terutamanya fitnah yang paling banyak diulang iaitu kononnya nak kerjasama dengan Umno dan makan dedak Umno.
“Meskipun diserang, hari ini nampaknya ramai pula mengharapkan kerjasama bersama PAS.
“Bukankah pelik untuk meminta kerjasama dengan sebuah parti yang dituduh makan dedak Umno?” katanya.
Bagi Tuan Ibrahim, pertandingan dalam pilihanraya bukan hanya sekadar ada calon sahaja.
“Jentera parti mesti wujud bagi menjalankan kerja sepanjang kempen dan selepasnya. Kempen pilihanraya bukan sekadar menonjolkan calon yang kononnya diiktiraf berwibawa dan boleh menang ketika pilihanraya mendekati tetapi juga persediaan jentera dan petugas.
“Ada parti yang ada calon tapi jentera dan petugas langsung tak nampak batang hidung.
“Lebih malang, ada parti yang melonggokkan poster calon dan bendera di pejabat dan markas PAS meminta petugas PAS yang menguruskannya.
“Kalau parti setahun dua ditubuhkan, PAS sentiasa membantu dan memaafkan kekurangan. Tetapi parti lama yang jenis yang hanya muncul di musim pilihanraya dan berucap bergegar-gegar, maaflah,” katanya lagi kesal dengan parti itu tanpa menyebut nama parti itu.
Bagi beliau, sebenarnya, keadaan inilah yang akan mencetuskan perebutan kerusi untuk dipertandingkan. Calon yang mempunyai jentera bekerja di bawah tidak diberi kerusi manakala calon yang diberi kerusi tiada jentera.