Malaysia Dateline

Pas akan sokong ratu cantik kalau program diubah sikit, kata penganjur

Dewan Pemuda Pas Malaysia (DPPM) akan menyokong majlis malam gala pertandingan ratu cantik Miss/Mrs Plus World Malaysia 2020 (MPWM 2020) sekiranya majlis berkenaan mengubah beberapa aturan program sepanjang perjalanan majlis.

Menerusi Facebook Miss Plus World Malaysia/ Ms Plus Intercontinental Malaysia, penganjur memaklumkan bahawa MPWM akan bekerjasama dengan DPPM untuk menjaga kepentingan para peserta.

“Perbincangan mengenai sama ada untuk membatalkan malam gala kami atau tidak.

“Pemuda Pas memberi cadangan dan berjanji untuk menyokong program kami. Tetapi mereka meminta untuk melakukan beberapa perubahan.

“Kami akan bekerjasama dengan pemimpin Pas untuk menyediakan yang terbaik bagi wanita Malaysia,” katanya dalam satu hantaran Facebook.

Terdahulu, penganjur pertandingan ratu cantik MPWM 2020 tidak akan membatalkan acara kemuncak program tersebut yang dijadual 2 Jan depan kecuali selepas mendapat arahan pihak berkuasa untuk berbuat demikian.

Ia susulan gesaan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) dan Pas yang meminta agar acara ratu cantik yang mengetengahkan wanita bersaiz besar itu dibatalkan.

Yang di-Pertua Yadim, Nasrudin Hassan menyifatkan acara seumpama itu sebagai menyuburkan budaya hedonisme dan mempunyai unsur mengeksploitasi wanita.

Dia yang juga ahli Jawatankuasa Pusat Pas berkata penganjur acara itu memberi isyarat yang salah, seolah-olah kerajaan sekarang merestui program seumpamanya.