Malaysia Dateline

Abdul Hadi Awang

PAS akan tetap teruskan himpunan 8 Disember

Pas mempunyai pandangan politik terhadap usaha meneruskan agenda Himpunan Kejayaan Bantah ICERD (Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum) di ibu negara pada 8 Disember ini

Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata pandangan politik yang dimaksudkan, masih ada di kalangan menteri yang membuat kenyataan seolah-olah mahu menangguh pelaksanaan ICERD.

“Saya sudah buat pendirian, sudah berucap di Parlimen dan Perdana Menteri juga buat kenyataan mustahil, bila mustahil itu tidaklah.

“Mustahil benda yang tak mungkin ada. Jadi kalau menteri buat kenyataan kemudian pula, itu hendak mengatasi Perdana Menterilah. Perdana Menteri telah buat kenyataan, apa lagi menteri lain buat.

“Semua menteri pakat buat kenyataan belaka, jadi celarulah. Sebab itu ada orang kata, kena ‘mengaji’ Menteri ini, kena belajar. Perlu diajar menteri-menteri ini supaya faham,” ujarnya.

Beliau berkata demikian kepada wartawan di kediamannya selepas selesai kuliah dhuha Masjid Rusila, semalam.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Marang itu berkata, himpunan aman membantah ICERD diteruskan kerana masih ada kenyataan menteri yang pelbagai.

Beliau turut memberi jaminan keselamatan himpunan itu terkawal dan pihaknya sedia bekerjasama dengan polis.

“Kita akan keluar seramai-ramai dan dijangkanya ramai yang hadir. Dan kita kawal supaya tak berlaku perkara-perkara yang tidak diingini, tak berlaku provokasi, kita akan kawal.

“Saya beri jaminan dan kita kerjasama dengan polis. Kita pergi berunding dengan polis, bincang dengannya untuk jaga, kawal, insya-Allah,” ujarnya dipetik Harakahdaily.