Malaysia Dateline

Pas akui gagal capai kata sepakat dengan PN, kata Nik Abduh

Pas mengakui gagal meletakkan calonya di PRN Sabah kali ini selepas gagal menemui kesepakatan dalam perundingan dengan parti-parti rakan di Sabah, kata Nik Abduh Nik Aziz.

Katanya, kegagalan Pas itu sudah tentu amat mendukacitakan bagaimanapun Pas menerima keputusan itu dengan berlapang dada.

“Kegagalan adalah untuk hari ini. Esok bukan hari ini,” tulis beliau di Facebooknya.

Katanya, Pas menjunjung politik akhlak yang mulia dan moral yang tinggi, sebagaimana insan yang mulia akhlaknya membina keindahan untuk dirinya, begitulah untuk orang disekelilingnya.

“Ia memancar cahaya buat semua rakan-rakan dan mencetus kegembiraan.

“Mesej Pas, rakyat mahukan politik negara yang lebih berintegriti dan sejahtera. Semuanya mesti bermula dengan kesepakatan sesama parti-parti politik deminya.

“Ia bukan mudah. Ia perlukan perjuangan berterusan. Istiqamah,” katanya.

Nik Abduh turut menyifatkan mereka yang sedang mentertawakan Pas menunjukkan senjata orang yang gagal.

“Kehendak sebenar mereka adalah Pas gagal berunding dan gagal menerima kegagalan itu lalu memberontak, melawan balik dan memecah belahkan kesepakatan di antara parti-parti rakan dengan bertanding bersendirian di PRN Sabah.

“Dengan itu, mereka mendapat senjata paling ampuh melakukan serangan sepanjang kempen pilihanraya.

“Malang buat mereka, PAS memilih jalan kemuliaan. Orang menang senyum gembira. Orang kalah asyik mempersenda mengubat duka,” ujarnya.

Bagaimanapun, bagi Nik Abduh Mesej matlamat perjuangan kekal dipertahankan apatah lagi Pas gembira melihat parti-parti rakan memasuki pilihanraya dengan penuh kesatuan.

“Semoga menang dan berjaya buat Umno dan rakan-rakan di Sabah,” katanya yang berjanji akan hadir berkempen di di Sabah nanti.