Pas akui hudud sukar dilaksana

Pas akui hudud sukar dilaksana

Pas mengakui undang-undang hudud sukar untuk dilaksanakan di negara ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Ahmad Awang berkata, sekiranya Umno-Pas berkuasa dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), hukum hudud sememangnya sukar untuk dilaksanakan.

Beliau berkata demikian semasa Majlis Ramah Mesra Presiden Pas bersama Media & Pelancaran Harakahdaily versi baharu, di EDC hotel, semalam.

“Ini berkenaan hudud dan cabang-cabangnya. Kalau kita dapat kuasa, kita kena sedar bahawa untuk laksanakan hudud ini, terlalu banyak syarat-syaratnya.

“Yang pertama, mestilah kita mempunyai negara berdaulat. Kena ada Negera dan tanah. Tanah Malaysia umpamanya.

“Kita juga perlu ada rakyat, masyarakat majmuk. Perlu ada perlembagaan yang boleh digubal mengikut keadaan, dan pemimpin yang dilantik,” katanya.

Hadi turut memberi contoh Negara Brunei yang menarik balik pelaksanaan hukuman mati selepas menerima tekanan dari pelbagai pihak secara global yang akhirnya sekadar melaksanakan takzir.

“Begitu juga dengan Acheh yang masih terikat dengan perlembagaan. Oleh sebab itu, dalam melaksanakan Islam, kita temukan Akta 355 atau Pindaan kepada Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah), perkara memperkenalkan Takzir sahaja, bukan hukum yang berkaitan dengan hukum hudud.

“Kerana Itu kita masih lagi menghadapi masalah-masalah sebab ada masyarakat majmuk yang perlu diambil kira. Kita kena sedar dalam Islam ini, ada hukum yang boleh berubah,” katanya.

Malah katanya, melaksanakan hudud dalam suasana negara darurat juga tidak boleh dilakukan kerana dikhuatiri penjenayah lari daripada dibawa masuk ke muka pengadilan.

“Dalam suasana si penjenayah itu dengan gaji tak cukup, jadi nak gantung hukuman tak boleh. Ini banyak syarat yang kita kena sedar,” katanya.

Takzir ialah hukuman yang tiada dalam al-Quran dan Hadis, diserahkan kepada undang-undang sedia ada dan hakim. Hukuman boleh jadi seperti penjara, buang daerah dan sebagainya.