Pas akui tidak mudah berunding pembahagian kerusi dengan PKR, DAP

Pas akui tidak mudah berunding pembahagian kerusi dengan PKR, DAP

Pas tidak menaruh keyakinan mesyuarat pembahagian kerusi Pakatan Harapan akan menyelesaikan pertembungan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 nanti.

Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Khairuddin Aman Razali mendakwa bukan suatu yang mudah untuk berunding dengan PKR dan DAP yang sangat bertegas mempertahankan kuota kerusi mereka.

“Pertama sekali Bersatu ini memang dia nak mengharap kerusi daripada Pas, sebab DAP dan PKR akan pertahankan kuota kerusi dia, tidak mudah.

“Pengalaman kita dalam Pakatan Rakyat, dua parti ini sangat tegas dalam bab kerusi mereka punya. Jadi tinggal lagi kerusi nak ‘difaraidkan’ kerusi Pas dan Amanah pun nak bertanding semua kerusi Pas,” kata Khairuddin seperti dilapor MalaysiaGazette hari ini.

Khairuddin mengulas berhubung mesyuarat Pakatan Harapan baru-baru ini yang berlangsung tanpa wakil Bersatu disebabkan mereka masih cuba berunding dengan Pas secara harmoni.

“Bersatu pun nak kerusi Pas juga tapi dengan cara harmoni, dengan cara bincang jadi dia terpaksa bincang dengan Pas tapi bagi Pas, kita akan terus dengan agenda kita,” kata Khairuddin yang mengatakan Pas tidak perlu lagi melayan usaha memujuk Bersatu.

Berhubung pertembungan tiga penjuru, Khairuddin berkata perkara bukan lagi fantasi malah sebaliknya realiti yang bakal berlaku dalam pilihan raya nanti.

“Sebab semua akan bertanding di kerusi Pas, siapa yang bertanding kerusi itu mereka yang pengacau menimbulkan tiga penjuru.

“Jadi tiga penjuru ini bukan lagi fantasi itu realiti. Ia bertujuan mewajarkan kewujudan Amanah, kalau tak di mana Amanah nak bertanding dan tak wujud lah Amanah,” katanya.

Khairuddin menyalahkan Amanah atau mana-mana parti yang bertanding di kerusi Pas sebagai punca utama kepada pertembungan tersebut.

“Jadi Amanah penyebab tiga penjuru kalau sekiranya berlaku sebarang pertembungan dengan Umno hingga Umno menang. Ia salah Amanah, mereka jadi puncanya, kalau ikut politik,” katanya.

Parti dalam Pakatan yang terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah baru-baru ini mengadakan mesyuarat pusingan pertama pembahagian kerusi tanpa wakil Bersatu walaupun pada awalnya dijemput untuk duduk berbincang bersama.

TAGS