Pas, Amanah dicadang bertanding satu kerusi PRK K Kangsar dan Sg Besar

Pas, Amanah dicadang bertanding satu kerusi PRK K Kangsar dan Sg Besar

Pas dan Amanah dicadangkan agar berbincang antara satu sama lain bagi membolehkan kedua-dua parti itu bertanding satu kerusi setiap parti dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar nanti.

Mahfuz cadang satu Amanah satu Pas

Pas dan Amanah dicadangkan agar berbincang antara satu sama lain bagi membolehkan kedua-dua parti itu bertanding satu kerusi setiap parti dalam pilihan raya kecil Kuala Kangsar dan Sungai Besar nanti.

Ahli parlimen Pas dari Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, dengan cara itu akan membolehkan mereka tidak bertembung antara satu sama lain dan memberikan tumpuan untuk mengalahkan Barisan Nasional (BN).

“Saya cadangkan Pas bertanding satu kerusi manakala Amanah pula bertanding satu kerusi lagi. Jadi mereka tidak perlu bertembung antara mereka tetapi menghadapkan jentera masing-masing untuk mengalahkan BN dalam pilihan raya kecil itu,” katanya kepada Malaysia Dateline.

Mahfuz yang kini pengerusi jawatankuasa Deklarasi Rakyat negeri Kedah berkata, dengan cara ini kedua-dua parti boleh memberikan sumbangan untuk kepentingan rakyat sebagaimana yang dihasratkan oleh gerakan Deklarasi Rakyat.

Beliau yakin dengan formula satu lawan satu ini sahajalah akan dapat mengalahkan BN dalam pilihan raya kecil ini dengan mengambil iktibar dengan apa yang berlaku dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini.

BN berjaya mengekalkan kerajaan negeri Sarawak selepas pembangkang berpecah dan bertembung antara satu sama lain dalam pilihan raya itu.

“Kita harap kekalahan BN dalam pilihan raya ini akan menekan Datuk Seri Najib agar berundur demi kepentingan rakyat dan negara dan memulihkan keyakinan negara luar kepada Malaysia yang sedang teruk tercemar kini,” kata bekas ketua penerangan Pas itu.

Mahfuz yakin, jika kedua-dua boleh bertolak ansur dan memberikan tumpuan untuk kepentingan rakyat, semua pihak akan membantu kedua-dua parti untuk menang dalam pilihan raya kecil itu.

“Saya tidak perlu cadang mana-mana kerusi untuk ditandingi Pas dan Amanah, terserahlah kepada kedua-dua parti itu untuk berunding demi kepentingan kedua-dua pihak dan rakyat,” kata Mahfuz.

Pilihan raya Kuala Kangsar dan Sungai Besar perlu diadakan ekoran kematian wakil rakyat kedua-dua kawasan itu dalam kemalangan helikopter ketika berkempen dalam pilihan raya negeri Sarawak baru-baru ini.

Dalam pilihan raya umum lalu, calon Pas di Kuala Kangsar, Drs Khalil Idham Lim tewas di tangan Wan Mohamad Khairil dengan majoriti 1082 manakala calon Pas Mohamad Salleh Husin tewas kepada Datuk Noriah Kasnon dengan majoriti 399 undi sahaja.

Pada dasarnya, kerusi yang ditandingi oleh Pas akan ditandingi oleh Amanah bagi mewakili Pakatan Harapan selepas pakatan baru itu dibentuk selepas pecahnya Pakatan Rakyat.

TAGS