Malaysia Dateline

Pas ambil sikap ‘No Ismail, No Hishamuddin’, lapor portal berita

Sebuah portal berita melaporkan, Pas sedia menyokong sesiapa sahaja calon perdana menteri yang dikemukakan Umno tetapi “No Ismail, no Hishamuddin”.

Sikap yang sama juga diambil oleh Umno yang sehingga kini belum lagi memberikan pengiktirafan kepada pencalonan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub itu, lapor Free Malaysia Today (FMT) berdasarkan sumber.

Adalah difahamkan Pas menolak Ismail sebagai pilihan bagi jawatan perdana menteri dan sebaliknya menerima calon yang ditampilkan oleh Umno sendiri, lapor FMT.

Jika Muhyiddin meletak jawatan esok, parti Islam itu dikatakan bersedia menyokong siapa sahaja calon daripada Umno untuk menjadi PM caretaker tetapi berpendirian “No Ismail, No Hishammuddin (Hussein).”

Sumber juga berkata pucuk pimpinan Umno kecewa dengan tindakan Ismail “membelakangkan kepentingan parti “, dan sebaliknya cuba mendapatkan sokongan kalangan Ahli Parlimen Umno, Pejuang dan Amanah untuk dicalonkan sebagai perdana menteri “caretaker,” jika diperkenan oleh Istana Negara.

Menurut sumber Umno, selain ditolak Pas, Ismail juga sukar mengekalkan sokongan 23 Ahli Parlimen Umno yang sebelum ini dikatakan bersama beliau.

“Ismail sendiri dan beberapa menteri Umno lain rasa tersepit apabila Muhyiddin mengadakan perbincangan dengan DAP, tanpa berunding dengan mereka,” kata sumber itu.

“Beberapa menteri ini membuat pengakuan dalam grup whatsapp bahawa mereka juga akan menarik balik sokongan,” yang diberikan sebelum ini,” kata sumber itu.