Pas anggap DAP cauvinis, Mahathir punca politik celaru

Pas anggap DAP cauvinis, Mahathir punca politik celaru

Bukan sahaja pimpinan sedia ada, veteran Pas turut memusuhi DAP selain menganggap penglibatan Tun Mahathir dalam politik tanah air menimbulkan kekeliruan dalam parti pembangkang.

Bekas Pengerusi Lembaga Disiplin Pas Pusat, Datuk Wan Abdul Mutalib Embong mengaitkan DAP yang dianggapnya menguasai pembangkang bersifat cauvinis iaitu berkaitan kepercayaan yang berlebihan.

“Kita pada hari ini ada pembangkang dan terkuat sekarang ini DAP. Tetapi DAP ini menggambarkan cauvinisme dia lebih daripada kepentingan rakyat secara keseluruhannya,” ujarnya dipetik daripada temubual di akhbar rasmi Pas, Harakah baru-baru ini.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam Kongres Rakyat di Shah Alam, Selangor pada 12 September 2015 turut menegaskan pendirian parti itu menolak sikap cauvinis yang diamalkan oleh pihak tertentu.

“Islam telah mensyaratkan kemampuannya untuk menyelesaikan masalah masyarakat majmuk bukan kerana fanatik, bukan kerana oportunis.

“Tetapi kerana tiada tempat bagi ajaran Islam dalam kalangan yang fanatik, kalangan yang berfahaman cauvinis dan kalangan yang oportunis,” ujar Abdul Hadi tanpa menyebut DAP secara langsung.

{loadposition myposition}

Naib Ketua Kesatuan Ulama Islam Sedunia itu berkata sedemikian selepas Muktamar Dewan Ulama Pas pada 3 Jun tahun yang sama meluluskan usul tergempar membatalkan tahaluf siyasi atau kerjasama politik dengan DAP serta memutuskan hubungan dengan parti berkenaan.

Selanjutnya, Abdul Mutalib berpendapat wujud banyak pihak yang sekarang mahu menunjukkan kelebihan masing-masing.

Bekas exco sepenggal kerajaan Pas Terenganu (1999-2004) tersebut berkata, Mahathir khususnya telah diberi kepercayaan memerintah selama 22 tahun bagaimanapun seolah-olah tidak percaya kepada Perdana Menteri pada masa ini.

“Saya rasa inilah antara punca yang menjadikan kecelaruan kerana cabaran yang dibuat itu ke atas penyandang jawatan Perdana Menteri sekarang, yang diwarisi dari beliau sendiri,” dakwanya.

Mutalib bahkan menyifatkan penyalahgunaan kuasa, rasuah dan nepotisme ‘dilatih’ oleh Mahathir sepanjang memegang jawatan Perdana Menteri mulai 1981.

Ditanya kemungkinan Mahathir akan kembali semula kepada Umno setelah Najib Razak jatuh, beliau secara menyindir berkata, tidak jelas sama ada Pengerusi Bersatu itu mengetuai Pakatan Harapan atau Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

“Dia (Mahathir) menggambarkan dia mengetuai tetapi hakikatnya kita tidak tahu. Dia atau Lim Kit Siang ? (ketawa),” ujar bekas Pengerusi Biro Guaman Pas Pusat itu lagi.

CATEGORIES
TAGS