Malaysia Dateline

Pas anggap desakan sidang Parlimen sekadar pendapat pembangkang

Pas menganggap laporan Malaysiakini mengenai desakan 90 Ahli Parlimen daripada tujuh negara ASEAN supaya sidang Parlimen negara ini diadakan segera sebagai cuba mengelirukan rakyat.

Ketua Penerangannya, Kamaruzaman Mohamad berkata, desakan itu juga tidak mewakili pendapat kerajaan negara-negara tersebut tetapi sekadar mewakili pendapat Ahli Parlimen pembangkang mereka.

Menurutnya, jumlah 90 Ahli Parlimen yang disebutkan dalam laporan portal itu adalah salah kerana 25 daripada mereka yang menandatanganinya bukanlah Ahli Parlimen tetapi, bekas Ahli Parlimen.

Selain itu, katanya lapan daripada nama yang disenaraikan adalah Ahli Parlimen Timor Leste yang tidak termasuk dalam negara ASEAN.

“Kenyataan ini juga tidak mewakili pendapat kerajaan negara berkenaan tetapi sekadar mewakili pendapat Ahli Parlimen pembangkang mereka,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kamaruzaman berkata, kumpulan Ahli Parlimen di bawah ASEAN Parliamentarians for Human Rights (APHR) yang menggesa untuk diadakan sidang Parlimen itu pula dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Klang dari DAP, Charles Santiago.

“Adakah ini juga satu petanda bahawa tindakan Ahli Parlimen pembangkang negara-negara terbabit didorong oleh Ahli Parlimen pembangkang negara kita yang mahu mengkritik dan mencemarkan imej kerajaan saja?” katanya.

Tambahnya, pelaksanaan Ordinan Darurat yang dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong adalah menepati garis panduan darurat yang diperkenalkan oleh Pejabat Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi hak asasi manusia pada 27 April tahun lalu.