Malaysia Dateline

Pas anggap gagasan politik baharu perlukan masa

Pas menganggap gagasan politik baharu yang bakal dimeterai Perikatan Nasional (PN), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) memerlukan masa.

Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, berkata bagaimanapun hasrat yang dicadangkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu dipersetujui kepimpinan Pas.

“Kita menganggap cadangan berkenaan amat positif yang sehingga kini, kita dapati majoriti pimpinan parti berkaitan bersetuju.

“Cuma untuk merealisasikan langkah berkenaan memerlukan masa,” katanya pada media pada program Dialog Media bersama Presiden Pas di ibu pejabat parti itu di Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur hari ini.

Kelmarin, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, satu Piagam Persefahaman Politik antara gabungan Bersatu, Umno dan Pas itu perlu dibentuk.

Hamzah berpendapat rakyat akan lebih yakin bahawa gagasan tersebut mempunyai kestabilan politik kukuh serta keupayaan untuk terus mentadbir negara apabila piagam itu dimeterai.