Malaysia Dateline

Pas anggap golongan ‘makhluk perosak’ ada pengikut di Malaysia

Kedudukan hak asasi manusia hendaklah mengikut ketetapan Allah Pencipta alam yang meletakkan manusia dalam kalangan makhluk-Nya dengan sifat fitrah dan pada tempat yang telah ditentukan peranannya, kata
Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, jika diubah dengan pendekatan yang terkeluar daripada sifat fitrahnya seperti mengubah cara perjalanan tabii yang “menjunamkan kepalanya ke bawah”.

Menurut bekas Menteri Besar Terengganu sepenggal tersebut, berlaku keruntuhan jati diri manusia dalam dunia Barat contohnya keruntuhan institusi kekeluargaan.

“Hal ini berlaku, apabila anak sendiri menugaskan orang lain untuk menjaga ibu bapa yang tua dan uzur kerana kononnya mereka tidak cukup masa dan hak mereka untuk bekerja.

“Bahkan, kita menyaksikan berlaku ketempangan hidup manusia sehingga ada dalam kalangan mereka yang dilihat senang-lenang tiba-tiba membunuh diri,” katanya menerusi Minda Presiden Pas bertajuk, ‘Islam dan hak asasi manusia’ hari ini.

Sehubungan itu, Hadi yang juga Duta Khas ke Timur Tengah itu berkata, masalah yang wujud ialah ada dalam kalangan manusia itu sendiri menjadi makhluk perosak yang meminda ketetapan Allah SWT.

“Biarkan mereka itu wujud di negara-negara Barat, walau bagaimanapun golongan ini juga mempunyai pengikutnya di Malaysia.

“Hari ini mereka mula menunjukkan protes terhadap kedudukan hak asasi di negara tempat kakinya berpijak. Silakanlah melompat ke bumi lain yang dipilih, janganlah membuat kerosakan di sini,” sembang Hadi lagi menutup artikel panjangnya tanpa memperincikan pihak yang dimaksudkannya.