Malaysia Dateline

Pas anggap hubungan Umno-Bersatu seperti harimau yang luka

Setiausaha Badan Perhubungan Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir memberi gambaran ada sebuah parti yang menyokong Perikatan Nasional (PN) kini ibarat harimau yang sedang luka.

Tanpa menyebutkan mana-mana pihak, beliau berkata, apa yang dijangka berlaku telah pun berlaku.

Kenyataan itu susulan keputusan muktamad Umno menolak kerjasama dengan Bersatu dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

“Harimau ini kini tercedera luka. Tidak cukup sekadar meraung rintih, murung dan marah. Luka akan makin parah dan nyawa pun mungkin terancam.

“Apa yang perlu dilakukan adalah merawat luka ini agar ia tidak semakin parah tapi segera sembuh. Tenaga perlu dipulihkan agar sang belang dapat kembali bangkit gagah berhadapan dengan musuh sebenar.

“Perpaduan ummah yang menyatukan kuasa politik umat Melayu Islam bertenggek di atas kesungguhan dan komitmen ketiga-tiga parti Pas, Umno dan Bersatu,” katanya dalam satu hantaran Facebooknya hari ini.

Roslan Shahir Mohd Shahir

Semalam, Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan pendirian parti itu menolak sebarang kerjasama dengan Bersatu selain PKR dan DAP pada PRU15.

Zahid ketika dalam ucapan dasar Presiden Umno pada Perhimpunan Agung Umno 2020 (PAU 2020) itu juga mengesahkan setakat ini tiada perbincangan dengan mana-mana parti terbabit sama ada secara rasmi atau tidak rasmi.

Menulis lanjut, Roslan berkata, tanpa penyatuan kukuh, jalan akan menjadi tempang dan tidak mustahil terperosok menyembah bumi.

Untuk rekod, Zahid bagaimanapun tidak menyatakan tempoh bila pemimpin Umno akan diarahkan untuk menarik diri dari pentadbiran Muhyiddin.

Namun katanya, para perwakilan memberinya mandat untuk mengarahkan pimpinan parti itu menarik diri bila-bila masa sahaja jika Perikatan Nasional (PN) tidak menunjukkan kesediaan untuk memanggil pilihan raya dalam masa terdekat.