Pas anggap PH lebih berkiblatkan agenda Aung San Suu Kyi

Oleh ARIF ATAN

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menegaskan partinya berbeza dengan Pakatan Harapan (PH) yang dianggapnya berkiblatkan pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi.

Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bertaraf Menteri itu berkata, terdapat pihak tertentu juga dilihat menyokong Myanmar dalam krisis pelarian etnik Rohingya yang menjadi mangsa kekejaman tentera.

“Malaysia menjadi tempat yang menerima pendatang Rohingnya paling ramai sejak dahulu.

“Namun, Pas berbeza dengan kalangan daripada Pakatan Harapan (PH) yang lebih berkiblatkan kepada agenda bersama Aung San Suu Kyi, tokoh liberal sanjungan PH yang tidak mempedulikan orang Islam ketika berkuasa dalam kerajaan.

“Bahkan, ada kalangan pihak tertentu yang turut menyertai perbicaraan bagi membela Myanmar di Mahkamah Antarabangsa,” dakwanya menerusi Minda Presiden sebentar tadi.

Ahli Parlimen Marang yang kerap menggunakan perlambangan kontroversi termasuk syaitan dalam hujahnya itu menganggap rampasan kuasa di Myanmar pada 1 Februari lalu sebagai percaturan politik antara Amerika Syarikat (AS) dan China.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan Malaysia perlu mempunyai pertimbangan kemanusiaan dengan mengambil kira percaturan politik yang memerlukan sikap berhati-hati.

“Tentera dibayangi oleh kuasa proksinya, Aung San Suu Kyi juga mempunyai proksi sendiri.

“Pembelaan terhadap Rohingya bukanlah semata-mata bermotifkan politik pilihan raya di Malaysia.

“Isu pelarian bukan sekadar dijadikan bahan untuk meraih undi tanpa melihat kedudukan Islam yang wajib diberikan hak mempunyai tanah air kepada umat Islam daripada kaum Rohingya,” ujarnya.

Bertopengkan liberalisme

Suu Kyi yang merupakan Pengerusi Liga Demokrasi Kebangsaan (NLD) didakwa secara rasmi pada 3 Februari lalu selepas dua hari ditahan dalam rampasan kuasa oleh Tatmadaw iaitu tentera Myanmar.

Penahanan itu sekali gus bererti tamatnya kerajaan demokrasi di Myanmar yang baharu sahaja memasuki pusingan kedua pemilihan demokratik pada pilihan raya umum, November tahun lalu.

Untuk rekod, Myanmar sebelum ini berada di bawah pemerintahan tentera junta selama 49 tahun.

Reputasi Suu Kyi yang pernah disebut sebagai setaraf Nelson Mandela dan Mahatma Gandhi terjejas ekoran tidak menangani kesengsaraan etnik Rohingya.

Penerima hadiah Nobel Keamanan itu bahkan mempertahankan Myanmar daripada tuduhan pembunuhan beramai-ramai di mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Disember 2019.

Ekoran pembantaian operasi ketenteraan berdarah terhadap minoriti Muslim Rohingya pada 2017, Myanmar cuba buat pertama kali dibawa ke muka pengadilan.

Keganasan di Rakhine empat tahun lalu itu memaksa lebih 740,000 etnik Rohingya yang dinafikan kewarganegaraan melarikan diri dengan sebahagian besar mendapatkan perlindungan di kem penempatan di Bangladesh.

Dalam masa sama, Abdul Hadi mengingatkan perjuangan etnik Rohingya untuk mendapatkan semula hak tanah air wajib dibantu, bukannya memudahkan jalan supaya menyerah kalah terhadap kezaliman dengan menyerahkan tanah air mereka secara percuma.

“Masalahnya mengapa hanya kaum yang beragama Islam dipaksa menjadi pelarian, sebaliknya etnik bukan Islam yang lain pula tidak begitu,” katanya.

Sehubungan itu, tegasnya, Pas yang mendukung Islam tidak boleh terperangkap dengan agenda anti Islam yang mengambil kesempatan daripada kumpulan bukan Islam yang lain atau kumpulan Islam yang buta kefahaman politik dalam mempertahankan Islam.

“Sehingga tanpa disedari atau menyedari telah diperalatkan oleh agenda kumpulan anti Islam yang bertopengkan liberalisme,” tambah Abdul Hadi lagi.