Pas anjur himpunan Akta 355, turut jemput Amanah dan DAP

Pas anjur himpunan Akta 355, turut jemput Amanah dan DAP

Pas akan menganjurkan himpunan mega bagi memberi penerangan mengenai Rang Undang-undang (RUU) Akta 355 (bidang kuasa jenayah) di Dataran Merdeka pada 18 Februari ini.

Timbalan Presiden Pas Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata himpunan Akta 355 itu bertujuan menunjukkan sokongan orang Islam terhadap RUU itu, selain memberi penjelasan mengenainya kepada orang bukan Islam.

“Ia dapat membangkitkan semangat umat Islam dalam menghadapi tentangan pihak yang tidak memahami dan cuba ambil kesempatan sehingga boleh mencetuskan suasana tidak harmoni.

“Kita menjemput semua pihak ke himpunan besar-besaran ini. Ia melibatkan lebih 200 NGO dan menjangka lebih 300,000 peserta menyertainya,” katanya pada sidang media di Wisma Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), hari ini.

Antara NGO yang akan hadir serta menjadi penganjur bersama himpunan ini ialah Sekretariat Ummah, Majlis Peguam Muslim Malaysia, Majlis Profesional Muslim Malaysia, Pertubuhan Pembela Islam dan Majlis Amal Islami Malaysia.

Tuan Ibrahim berkata penganjur yakin pihak berkuasa akan memberikan kebenaran untuk menggunakan Dataran Merdeka.

Pada November tahun lalu, Presiden Pas meminta Dewan Rakyat menangguhkan usul RUU Akta 355 ke sidang seterusnya yang dijadualkan berlangsung pada Mac depan.

Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, penangguhan itu bertujuan membolehkan pindaan dilakukan terhadap RUU Akta 355 yang hanya akan didedahkan pada sidang Dewan Rakyat akan datang.

Sementara itu, Ketua Penerangan Pas Nasrudin Hassan yang ditemu pemberita selepas sidang media berkata jemputan akan dihantar kepada semua pihak, termasuk kepada Amanah dan DAP.

Beliau berkata proses jemputan akan dibuat seminggu dari sekarang, namun terpulang kepada mereka sama ada untuk menyertainya atau tidak.

Himpunan bertemakan ‘syariat diperkasa rakyat sejahtera’ akan bermula pada jam 3 petang dan dijangka berakhir pada jam 11 malam.

COMMENTS

Wordpress (0)