Pas arah ahli fokus PRK, usah hirau spekulasi tentang kerajaan Selangor

Pas arah ahli fokus PRK, usah hirau spekulasi tentang kerajaan Selangor

Seluruh ahli dan pendukung Pas diminta memberi fokus kepada dua pilihan raya kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar dan tidak terpengaruh dengan berita serta spekulasi tentang kedudukan Pas dalam kerajaan negeri Selangor.

Ketua pengarah jabatan pilihan raya Pas Datuk Mustafa Ali berkata, soal kerajaan negeri akan ditangani secara tertib dan bijaksana.

“Tidak berbangkit soal exco Pas meletakkan jawatan atau dipecat daripada jawatan,” katanya dalam satu kanyataan yang disiarkan suara rasmi Pas, Harakahdaily hari ini.

Sebelum ini, beberapa media melaporkan bahawa menteri besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali meminta anggota exco daripada Pas meletakkan jawatan jika parti itu berkeras mahu bertanding dalam PRK Sungai Besar nanti.

Menurut laporan, Mohamed Azmin mahu PKR bertanding di kerusi tersebut dan bukannya Pas atau Amanah.

Azmin bagaimanapun menafikan perkara itu semalam sebaliknya berkata fokus beliau kini adalah mengadakan perbincangan dengan pelbagai parti pembangkang untuk bertanding di kerusi Parlimen berkenaan.

Sementara itu, Mustafa dalam kenyataan yang sama meminta jentara PRK di semua peringkat dimantapkan kerana Pas akan bertanding di Sungai Besar dan Kuala Kangsar.

“Teruskan pemantapan jentera PRK di semua peringkat kerana Pas akan bertanding di kedua-kedua kerusi parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar,” katanya.

TAGS