Malaysia Dateline

Ahmad Fadhli Shaari

Pas bantah naikkan judi 22 kali, mahu kerajaan tarik balik kebenaran

Ahli Parlimen Pasir Mas dari Pas, Ahmad Fadhli Shaari, membantah tindakan kerajaan yang menaikkan cabutan nombor ekor dari lapan kali setahun ke 22 kali dalam tempoh sama.

Beliau berkata, walau apa pun hujah kerajaan untuk meningkatkan pendapatan, kerajaan tidak boleh menaikkan kadar cabutan.

Ini katanya, akan menyebabkan kerajaan berdepan dengan banyak tentangan dari luar Dewan Rakyat mahupun di dalam Dewan.

“Walaupun ada hujah mengatakan bahawa hasil daripada judi ini digunakan untuk pendapatan, walau apa pun hujah, judi tidak boleh dinaikkan kadar cabutan.

“Saya berdiri di sini untuk mengatakan bahawa kerajaan wajib untuk menarik balik langkah ini sebelum berdepan dengan tentangan hebat sama ada di dalam Dewan atau di luar Dewan.

“Kerana judi dalam apa jua bentuk sekalipun, akan menyebabkan kesan jangka masa pendek dan panjang terhadap keberkatan hidup rakyat. Banyak lagi cara lain kalau kerajaan nak cari duit dan pendapatan,” katanya dalam sidang Dewan Rakyat hari ini.

Pada 20 September lalu, kerajaan mengesahkan mereka memberi kebenaran untuk meningkatkan kekerapan cabutan khas nombor ramalan menjadi 22 kali sepanjang tahun ini.

Hal itu dinyatakan Menteri Kewangan Tengku Zafrul Abdul Aziz dalam jawapan bertulisnya di Dewan Rakyat.

Tengku Zafrul memberitahu hal itu sebagai menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Seri Mahfuz Omar.