PAS bantah PKR hadiri majlis Amanah di Kelantan

PAS bantah PKR hadiri majlis Amanah di Kelantan

Perbalahan yang wujud antara PAS dan parti baru Amanah kini mengheret sama parti sekutu dua parti Islam itu iaitu PKR.

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Surat PAS Kelantan kepada Setiausaha Agung PKRPerbalahan yang wujud antara PAS dan parti baru Amanah kini mengheret sama parti sekutu dua parti Islam itu iaitu PKR.

Dalam satu perkembangan terbaharu, PAS Kelantan telah menghantar surat bantahan rasmi kepada PKR berhubung kehadiran para pemimpin PKR negeri di majlis-majlis anjuran Amanah.

Surat bertarikh 13 Januari itu ditujukan kepada Setiausaha Agung merangkap Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Berdasarkan salinan surat tersebut yang disebarkan di media sosial, Badan Perhubungan PAS Kelantan telah menerima laporan mengenai pemimpin PKR yang hadir sepentas dalam program anjuran PAN (Amanah) di Kelantan.

“Ekoran daripada itu, ia mencetuskan hubungan politik tidak selesa dan menjejaskan hubungan baik PAS-PKR di Kelantan,” surat yang ditandatangani Setiausaha Perhubungan PAS negeri, Datuk Che Abdullah Mat Nawi itu dipetik.

Penglibatan para pemimpin PKR dalam program Amanah di Kelantan, ujar Che Abdullah bertentangan dengan semangat parti itu yang ingin mengekalkan hubungan baik dengan PAS Kelantan sebagaimana diharapkan Naib Presiden PKR, Dr Shahruddin Badaruddin semasa bertemu Pesuruhjaya PAS negeri, Datuk Ahmad Yakub, baru-baru ini.

“Sehubungan itu Badan Perhubungan PAS Negeri Kelantan dengan ini menzahirkan rasa dukacita atas penglibatan tersebut, dan memohon agar ianya tidak diteruskan demi kebaikan bersama.

“Sensitiviti pihak akar umbi penyokong PAS di Kelantan tidak seharusnya dipandang ringan oleh PKR kiranya kita merasakan hubungan harmoni antara kedua pihak perlu diteruskan di negeri ini,” kandungan surat itu dipetik.

PAS Kelantan, ujar Che Abdullah mengharapkan hubungan baik dengan PKR dapat diteruskan demi mempertahankan kerajaan Islam Kelantan dan menjayakan misi menumbangkan BN dalam pilihan raya umum akan datang.

“Kami akan sentiasa memaklumkan kepada PAS Pusat mengenai perkembangan semasa politik di Kelantan khususnya mengenai hubungan PAS-PKR untuk pertimbangan dan tindakan badan tertinggi PAS seterusnya,” ujar beliau.

Dalam perkembangan berkaitan, sumber PKR mengesahkan menerima surat PAS Kelantan itu semalam namun enggan mengulas lanjut. Sumber juga memaklumkan tidak tahu menahu mengenai penyebaran surat tersebut di media sosial. 

TAGS