Malaysia Dateline

Pas bayang iktiraf Mohamad Hassan pimpin Umno bukan Zahid

Menjelang mesyuaratnya malam tadi, Umno diberitahu oleh Pas, pemimpin sebenar mereka yang diiktiraf oleh parti itu adalah Datuk Seri Mohamad Hassan, timbalan presiden Umno.

Twitter Takiyuddin jam 8.54 malam tadi.

Perkara ini dibuat oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan melalui twitter beliau jam 8.54 malam tadi, menjelang Umno mengadakan mesyuarat Majlis Tertingginya.

Beliau membayangkan pengiktarafan yang diberikan oleh Pas kepada Umno adalah melalui hubungan baik antara Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dengan Mohamad yang lebih dikenali sebagai Tok Mat itu.

“Dua insan ini sebenarnya yang meneroka jalan ke arah Penyatuan Ummah mewakili parti masing-masing awal tahun 2019.

“Kemuncaknya adalah HPU914 pada 14 September 2019,” kata beliau.

Berikutan itu, katanya, Muafakat Nasional (MN) dimeterai dan sebuah gagasan inklusif ummah bangsa dan negara dibentuk.

“…teruskan pimpinanmu ke medan jaya,” tulis orang kepercayaan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu.

Mesyuarat MT Umno malam tadi memutuskan untuk membawa usul mengadakan kerjasama dengan Pas walaupun Umno Terengganu dan Kelantan dilihat sangat tidak senang dengan Pas.

Usul mempertahankan hubungan kerjasama dengan Pas melalui Muafakat Nasional mengambil kira sentimen permuafakatan yang telah dibina ketika 22 bulan bersama-sama sebagai pembangkang akan dibawa ke mesyuarat agung Umno 31 Januari nanti, kata Ketua Penerangan Umno dalam kenyataannya selepas mesyuarat malam tadi.