Pas berdalih ‘Jahanam PAN’ hanya laungan sampingan

Pas berdalih ‘Jahanam PAN’ hanya laungan sampingan

Selepas Muktamar Dewan Ulamak Pas mengakhiri ikrar dengan pekikan “Jahanam PAN”, parti itu tampil berdalih kononnya kecaman yang ditujukan kepada Amanah itu hanya laungan sampingan.

Perwakilan Terengganu, Nik Nasri Nik Malek berkata, laungan “jahanam PAN” oleh delegasi ulamak Pas dari seluruh negara pada pembukaan mesyuarat agung tahunan sayap parti berkenaan bukanlah sejenis ikrar.

“Saya nak kata matlamat ikrar kami sebenarnya ialah Allah matlamat kami, rasul ikutan kami, al-Quran perlembagaan kami dan mengikut jalan Allah cita-cita tertinggi kami.

“Kalau tuan tidak faham bahasa Arab, tuan boleh tanya apa yang kami sampaikan, adapun ‘jahanam PAN’ itu hanyalah kata-kata sampingan bukannya ikrar,” ujarnya.

Semalam, Ketua Dewan Ulama Pas Kedah Mohd Rejab Md Akhir meminta para perwakilan supaya berdiri dan mengetuai ikrar yang diakhiri dengan laungan jahanam Amanah, diikuti laungan takbir.

“Sebelum saya memulakan ucapan, saya minta semua berdiri kita baca ikrar ‘Jahanam PAN’,” kata Rejab ketika menyampaikan ucapan pembukaan yang dirasmikan Timbalan Mursyidul Am Datuk Ahmad Yakob.

Bagaimanapun, rata-rata pengguna media sosial mengecam sikap Pas tersebut sekaligus mempersoalkan sejauh mana parti yang memusuhi Pakatan Harapan itu mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera seperti yang dilaungkan.