Pas beri komitmen tambah undi BN hingga 20 peratus

Pas beri komitmen tambah undi BN hingga 20 peratus

Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd. Shahir berkata, pihaknya komited untuk meningkatkan peratusan undian penyokong-penyokong Pas kepada BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (Dun) Semenyih, 2 Mac ini.

Menurutnya, sasaran peningkatan dalam lingkungan 10 hingga 20 peratus daripada undi yang diperoleh Pas di Dun Semenyih pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Kita peroleh 6,966 undi pada PRU-14. Komitmen kita untuk tambah 10 hingga 20 peratus lagi undi untuk diberi kepada BN di PRK DUN Semenyih,” katanya kepada pemberita sewaktu mengiringi calon BN melawat Pasar Malam Jenaris, Kajang malam tadi.

Sehubungan itu, Roslan memberitahu, pihaknya akan membuat sedikit pelarasan gerak kerja di Semenyih bagi menyesuaikan keadaan semasa berbanding di Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highlands.

“Kerjasama Pas dengan Umno di Semenyih tidak sama seperti di Cameron Highlands bermaksud ia berlaku pelarasan gerak kerja.

“Di PRK Parlimen Cameron Highlands, kita menentang DAP dan di PRK DUN Semenyih, keadaan ini berbeza kerana gerak kerja diselaraskan supaya lebih berkesan,” ujarnya lagi.