Malaysia Dateline

Pas berjaya buat ‘live’ hampir sejam tayang kerusi kosong

Pas Selangor hari ini ‘berjaya’ mencipta rekod membuat siaran langsung paling lama menerusi Facebook (FB) hampir sejam dengan hanya memaparkan dua mikrofon dan tujuh kerusi kosong.

Sidang media yang kononnya tergempar untuk mengumumkan penyertaan “tokoh” dari AMANAH itu bersiarang secara langsung selama 52 minit.

Namun, selepas live FB itu berakhir, Setiausaha Badan Perhubungan Pas, Roslan Shahrir Mohd Shahrir memberitahu majlis penyerahan borang itu ditangguhkan “atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan”.

“Namun demikian, Pas Selangor terus mengalu-alukan sebarang hasrat mana-mana ahli parti berkenaan yang ingin bersama atau kembali ke pangkuan Pas,” katanya.

Pagi tadi, Facebook TV PAS Selangor bersiaran langsung dengan keterangan “TERGEMPAR!!! Majlis Pengisytiharan Tokoh Parti Amanah Negara kembali menyertai PAS”.

Semalam, Pesuruhjaya Pas Selangor Ahmad Yunus Hairi dilapor memberitahu bahawa seorang pemimpin AMANAH dari Selangor dijangka akan kembali menyertai Pas hari ini.

Bagaimanapun, ADUN Sijangkang tersebut tidak pula mendedahkan identiti pemimpin AMANAH itu.