Pas berkeras wujud campur tangan fatwa, cabar tindakan undang-undang

Pas berkeras wujud campur tangan fatwa, cabar tindakan undang-undang

Pas Pulau Pinang bertegas bahawa dakwaan campur tangan politik dalam proses pemfatwaan adalah benar dan mencabar kerajaan negeri mengambil tindakan undang-undang.

Ketua Pemudanya Afnan Hamimi Taib Azamudden dalam satu kenyataan berkata, sebagai bekas ahli jawatankuasa fatwa negeri Pulau Pinang (sehingga Disember 2015), beliau mengakui dakwaan campur tangan politik terhadap proses pemfatwaan adalah benar dan bukan fitnah yang direka.

“Hal campur tangan politik ini sebenarnya pernah dibincangkan di dalam salah satu Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang pada tahun 2015. Salah seorang ahli mesyuarat yang hadir ketika itu ialah Sohibul Fadhilah Ustaz Haji Soid Mohd Amin (difahamkan sekarang beliau merupakan salah seorang AJK Parti Amanah Negara negeri Pulau Pinang). Selain beliau, ahli mesyuarat yang lain turut hadir mengikuti perbincangan tersebut.

“Ketika Pas bersama dalam Pakatan Rakyat Pulau Pinang, isu ini juga pernah dibincangkan di dalam Mesyuarat Badan Perhubungan Pas Negeri Pulau Pinang ketika Tuan Haji Mohd Sabu menjadi Pesuruhjaya Pas Pulau Pinang.

“Mesyuarat itu dipengerusikan sendiri oleh Tuan Haji Mohd Sabu yang juga merupakan Timbalan Presiden Pas ketika itu. Mesyuarat bersetuju supaya Tuan Haji Mohd Sabu sendiri mewakili Pas bagi menyuarakan bantahan melalui saluran dalaman Pakatan Rakyat,” kenyataan media itu dipetik.

Afnan turut mencabar Exco Agama Kerajaan Negeri Pulau Pinang supaya mengambil tindakan undang-undang terhadap Pas Pulau Pinang jika tetap berkeras bahawa isu campur tangan politik itu sebagai fitnah.

Sebelum ini, Mufti Pulau Pinang Datuk Dr Wan Salim Wan Mohd Noor menasihati ahli politik dan masyarakat Islam supaya menghormati fatwa yang diputuskan Majlis Fatwa Kebangsaan dan Fatwa Negeri tanpa mempolemikkannya.

Dipercayai mengulas dakwaan Pas negeri, Dr Wan Salim menjelaskan bahawa mana-mana keputusan fatwa dibuat berdasarkan kaedah tertentu di samping mempertimbangkan kepentingan awam dan persekitaran.

“Saya amat berharap agar ahli politik khasnya dan masyarakat amnya dapat menghormati fatwa yang diputuskan oleh Ahli Jawatankuasa (AJK) Fatwa di negara ini sama ada di peringkat Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan mahupun Fatwa Negeri.

“Masyarakat hendaklah memahami bahawa keputusan fatwa dibuat berdasarkan kaedah tertentu di samping mempertimbangkan kepentingan awam dan situasi sekeliling.

“Di Pulau Pinang khususnya, sesuatu fatwa yang hendak diwartakan dikemukakan terlebih dahulu ke dalam mesyuarat Exco hanya untuk dimaklumkan, bukan untuk dibahaskan,” ujarnya dalam satu kenyataan, 31 Jan lalu.

Dr Wan Salim menambah, setakat ini belum pernah Exco atau Kerajaan Negeri menghalang pewartaan fatwa.

“Apabila mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri memutuskan untuk mewartakan sesuatu fatwa, ia dikemukakan terlebih dahulu di dalam mesyuarat Exco oleh Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kemudian dihantar ke pejabat Penasihat Undang-undang Negeri untuk diperbaiki serta dihalusi susunan bahasanya. Kemudian dihantar ke Istana Negara menerusi pejabat SUK untuk mendapat perkenan Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong.

“Setelah diperkenankan oleh Baginda, maka pejabat SUK sekali lagi menghantarkannya ke pejabat Penasihat Undang-undang negeri untuk tujuan pewartaan,” terangnya.

Justeru Dr Wan Salim berharap penjelasannya itu dapat menghilangkan kekeliruan masyarakat berhubung proses pewartaan fatwa dan tidak dijadikan bahan polemik oleh mana-mana pihak.

TAGS