Malaysia Dateline

Pas berpura-pura dan cakap kosong, hak pengundi anak muda dikhianati

Pas sangat hebat dalam menasihati orang walaupun nasihatnya tidak selalunya relevan atau betul dan kadang-kalanya biadab.

Setelah Majlis Raja-Raja meminta Parlimen diadakan secepat mungkin, dan darurat tidak disambung, Pas Pusat telah mengeluarkan kenyataan:

“Agong hendaklah bertindak mengikut nasihat Jemaah Menteri…”

Setelah kenyataan ini dikecam banyak pihak, hantaran tersebut telah dipadamkan oleh Pas.

Presiden Pas pula berhujah supaya anak muda tidak membuat kesilapan kali kedua dengan mengundi Pakatan Harapan (PH) pada PRU-15.

Apa jua kelemahan PH memerintah 22 bulan, sekurang-kurangnya PH dipilih oleh rakyat melalui demokrasi iaitu jalan PRU dan bukan mencuri masuk seperti PN melalui pintu belakang tanpa  diundang rakyat.

Tuduhan PH menjadi ‘musuh’ Islam pula dibuat tanpa apa-apa hujah, atau jauh sekali apa-apa bukti.

Presiden Pas selalu menyatakan berdosa besar dan berat hukuman mereka yang membuat tuduhan tanpa  bukti atau saksi tetapi Presiden Pas boleh sahaja berbuat mengikut peraturan sendiri tanpa bukti atau contoh.

Yang paling hebat lagi adalah saranan Presiden Pas kepada anak muda jangan memilih kerajaan PH lagi PRU akan datang.

Lupakah Pas bahawa  kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang dianggotai oleh Pas yang menghalang pengundi usia 18 tahun didaftar seperti telah diluluskan oleh Parlimen sebelum ini?

Setiausaha  Agung Pas yang menjadi Menteri Undang-undang memberi pelbagai alasan yang sehingga hari ini menghalang pendaftaran mengundi 18 tahun.

Ulama Pas pula menyatakan usia 18 tahun belum cukup matang untuk mengundi untuk justifikasi tindakan halangan mereka penyertaan pengundi muda.

Apa maknanya menasihati pilihan pengundi muda kalau Pas sendiri yang menyekat hak mengundi mereka ?

Ini adalah cakap-cakap kosong yang lupa pengkhianatan mereka terhadap hak pengundi muda.

Sedarkah Pas selama lebih 30 tahun mereka memerintah Kelantan dan dua penggal menjadi kerajaan di Terengganu, kedua-dua negeri ini adalah antara negeri tertinggi masalah penagih dadah di Malaysia?

Angka penagih dadah dua tahun lepas menunjukkan Kelantan dengan angka 16,900 menduduki tempat kedua tertinggi dan Terengganu dengan angka 10,500 menduduki tempat ketiga.

Angka nasional menunjukkan hampir 74 peratus adalah belia. Sebanyak 81 peratus kumpulan penagih dadah ini pula adalah Melayu dan Islam.

Anak muda ingin juga tahu 30 tahun Pas memerintah Kelantan, mengapa masalah besar dadah dalam kalangan anak muda Melayu Islam begitu teruk?

Apa sebabnya anak muda mesti menolak PH yang hanya berkuasa 22 bulan berbanding Pas memerintah lebih 30 tahun di Kelantan yang tidak mampu atau bernafsu menyelesaikan masalah utama kronik dadah dalam kalangan anak muda ?

Semasa PKP dan segala larangan di Terengganu berapa kali terjadi, belasan anak muda rider – pembawa motor Food Panda telah disaman ribuan ringgit seorang semasa mereka makan tengah hari waktu bekerja sementara Menteri Pas yang tidak mematuhi SOP serta kuarantin diberi kelonggaran layanan istimewa.

Anak muda juga hairan bagaimana kilang arak Carlsberg dan kasino bernilai ratusan juta ringgit boleh beroperasi semasa PKP kononnya di bawak kategori industri khidmat penting wajib beroperasi?

Tidakkah penting dan wajib juga khidmat menghantar makanan oleh rider anak muda ‘Food panda’ kepada rakyat yang terpaksa berkurung di rumah?

Dengan bayaran beberapa ringgit sahaja satu hantaran untuk rider ‘Food Panda’ ini terpaksa membayar saman ribuan ringgit sementara kilang arak Carlsberg dengan keuntungan puluhan juta ringgit bebas beroperasi.

Anak muda ingin Pas cermin diri mereka sendiri dalam kerajaan negeri Kelantan dan juga kerajaan PN Malaysia sebelum Pas menasihati anak muda siapa mereka harus undi PRU akan datang.

Anak muda hari ini celik maklumat dan tidak mudah diperbodohkan dengan paksaan wala’ secara membuta tuli.

Pas nyata tidak mampu atau berminat menangani isu dadah anak muda di Kelantan selepas lebih 30 tahun memerintah.

Pas juga tidak prihatin bela masalah anak muda rider Food panda di Terengganu yang dikompaun ribuan ringgit sementara kilang arak Carlsberg yang untung jutaan ringgit dibenarkan beroperasi semasa PKP.

Akhir sekali, Pas sebenarnya takut dan tidak berminat memberi peluang anak muda 18 tahun mengundi PRU-15 dengan menyekat pendaftaran mereka.

Oleh itu, buat apa Pas berpura-pura kononnya menggalakkan anak muda membuat pilihan bijak dalam PRU, walhal Pas dan kerajaan PN sendiri menghalang hak mengundi anak muda?

Bangkitlah anak muda dan ajukan soalan-soalan ini kepada Pas.

 

*SENATOR RAJA BAHRIN SHAH merupakan Pengerusi AMANAH Terengganu.