Pas bertanding di PD: Kenyataan Presiden Pas bercanggah

Pas bertanding di PD: Kenyataan Presiden Pas bercanggah

Timbalan Pengerusi AMANAH Negeri Melaka, Mohd Sofi Abd Wahab berkata, kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa Pas sedia bertanding di Port Dickson jika tiada parti lain bertanding, bercanggah dengan kenyataan pimpinan Pas berhubung isu pilihan raya kecil (PRK) tersebut.

Kata beliau, sebelum ini pimpinan Pas berkata bahawa PRK Port Dickson ini sebenarnya membazirkan wang rakyat kerana Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) terpaksa berbelanja jutaan ringgit menguruskan PRK ini.

“Bagi saya jika Pas benar-benar tidak mahu membazirkan wang rakyat, Pas sepatutnya tidak meletakkan calon untuk menentang Anwar Ibrahim.

“Dan sebagai rakan kepada Umno, Pas hendaklah menasihati Umno supaya tidak meletakkan calon mereka pada PRK kali ini kerana jika pembangkang meletakkan calon sudah pasti ada pertandingan.

“Jika ada pertandingan maka sudah tentu SPR terpaksa mengeluarkan belanja atau bajet mereka untuk PRK ini,” kata beliau dalam satu kenyataan.

Mohd Sofi merujuk kepada kenyataan Abdul Hadi berhubung isu PRK itu seperti yang disiarkan media semalam.

Jelas beliau, kenyataan Abdul Hadi itu tidak sejajar atau sekata dengan hasrat mereka yang kononnya tidak mahu membazirkan wang rakyat.

Katanya lagi, isu PKR meminta Ahli Parlimen Port Dickson, Danyal Danyal Balagopal Abdullah supaya meletakkan jawatan menyebabkan berlaku pembaziran wang rakyat, tidak berbangkit.

“Pakatan Harapan (PH) dalam menifestonya sebelum ini telah menyatakan bahawa PH akan memberikan laluan kepada Anwar untuk bertanding selepas beliau dibebaskan atau diampunkan, untuk memasuki parlimen dan kerajaan.

“Hal ini memang telah digariskan atau ditetapkan dalam menifesto PH, dan ia tidak berbangkit sama ada akan membazirkan wang rakyat atau sebaliknya,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Durian Tunggal itu.

Ujarnya, jika pembangkang tidak mahu berlakunya pembaziran, mereka tidak perlu meletakkan calon dan bertanding di Port Dickson kerana PKR ternyata kuat di situ, lebih-lebih lagi rekod menunjukkan bahawa kerusi berkenaan dikuasai PKR sejak tiga PRU yang lalu.

“Ternyata kerusi Parlimen Port Dickson ini adalah kubu kuat PH, dan jika pembangkang sama ada Umno, MIC atau Pas bertanding, mereka akan tewas di sana,” kata beliau.

6.7
OVERALL SCORE
2 user votes x 10.0