Pas bertegas akan tanding di K Kangsar dan Sg Besar

Pas bertegas akan tanding di K Kangsar dan Sg Besar

Pas bersetuju pertandingan tiga penjuru hanya akan memenangkan Barisan Nasional (BN) namun menegaskan akan meletakkan calon untuk bertanding di kedua-dua kerusi yang didakwa menjadi milik tradisinya iaitu Kuala Kangsar dan Sungai Besar.

“Kedua-dua kerusi ini ialah kerusi tradisi PAS dan oleh kerana itu, PAS telah tegaskan bahawa ia akan meneruskan tradisi dengan meletakkan calon di kedua-dua parlimen ini,” kata timbalan presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.   Bagi Tuan Ibrahim, fokus blok pembangkang ialah menumbangkan BN.

Kalau ini terus menjadi matlamat penyertaan dalam PRK ini, maka sewajarnya semua pihak berusaha agar BN dapat dikalahkan, katanya.

“Dengan demikian, sebarang tindakan dari mana-mana parti pembangkang yang meletakkan calon maka ini bermakna mereka memberi tongkat kepada BN,” katanya menolak parti-parti pembangkang lain menyertai pilihan raya ini.

Bagi beliau, komitment PAS dalam tindakannya terus menentang BN di Sarawak dan juga di kedua-dua PRK akan datang adalah bukti paling kukuh bahawa tuduhan PAS nak bergabung dengan Umno-BN adalah fitnah semata-mata.

Sebelum ini, ahli parlimen PAS dari Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mencadangkan agar rundingan dibuat antara Pas dengan parti pecahan darinya, Amanah yang kini membentuk blok baru Pakatan Harapan selepas Pakatan Rakyat yang disertai Pas berpecah.

Ia bertujuan untuk membolehkan pertandingan tiga penjuru antara Pakatan Harapan, Pas dan BN tidak berlaku dalam pilihan raya ini bagi membolehkan BN dikalahkan.

AJK Amanah Perak, Dr Muhaimin Sulam mencadangkan agar Amanah melepaskan kerusi Kuala Kangsar kepada Pas dan mencadangkan agar Amanah dibenarkan bertanding di Sungai Besar mewakili Pakatan Harapan.

Namun Tuan Ibrahim, pemimpin yang sederhana dalam Pas, meminta laluan diberikan kepada Pas untuk kedua-dua kerusi itu.

“Diharapkan tiada parti pembangkang lain yang meletakkan calon sekadar untuk menguji sokongan kerana tindakan demikian tidak lebih hanya memberi peluang besar bagi BN memenangi PRK ini.

“Adakah ada di kalangan pembangkang yang ingin terus melihat bagaimana rakyat terpaksa menelan kata-kata seperti “GST diterima rakyat”, “Rakyat percaya tiada salahlaku pada derma RM2.6 bilion”, “BN sememangnya menjaga rakyat”, “Rakyat percaya PM tidak terlibat dengan 1MDB”, “BN kerajaan yang bersih” dan sebagainya sekiranya BN memenangi PRK ini seperti yang terjadi di Sarawak?” soalnya.

Bagi beliau, pemimpin blok pembangkang perlu sedar pertembungan sama blok pembangkang hanya akan membenarkan bidalan “yang kalah jadi abu, menang jadi arang.”

TAGS