Pas BN kini berganding tangan menuju ke ‘syurga’, dakwa penulis

Pas BN kini berganding tangan menuju ke ‘syurga’, dakwa penulis
Presiden Pas turun ke Cameron Highland berkempen untuk calon BN.

Penulis politik terkenal menyifatkan Pas dan BN kini berganding tangan menuju ke syurga.

Mohd Sayuti Omar atau lebih dikenali MSO dalam tulisannya mengulas pilihan raya kecil Cameron Highland berkata, dalam pilihan raya ini kedudukan BN semakin kuat di Felda Sungai Koyan, salah satu kawasan pilihan raya di Cameron Highland.

“Senario itu menjelaskan kedudukan BN di Dun Sungai Koyan masih kuat, tidak berubah, bahkan makin kuat dan yakin.

“Mereka akan menguasai Dun ini apabila orang-orang Pas juga bersama mereka apa lagi setelah presidennya mewajibkan mereka mengundi BN.

“Dun Sungai Koyan kini bukan sahaja dipagar oleh BN tetapi oleh orang Pas sama. Ini menyulitkan buat PH,” kata Sayuti.

Katanya, perkara ini ditambah pula oleh “perintah dikeluarkan Abdul Hadi Awang hari ini seperti dilaporkan beliau mewajibkan orang Pas mengundi BN.”

 

PENGUNDIAN DI CAMERON HIGHLAND

Tun Dr Mahathir turun berkempen di Cameron Highland.

Sayuti mengikuti secara dekat kempen Tun Dr Mahathir Mohamad untuk calon Pakatan Harapan dalam pilihan raya ini.

Katanya, sepanjang siri kempen PH di Dun Sungai Koyan, himpunan bersama Dr Mahathir Mohamad yang diadakan di pekan Felda Sungai Koyan tengah hari semalam adalah majlis yang paling berjaya dari segi kehadiran.

“Empat malam sebelumnya saya juga turun untuk meninjau kempen PH yang diadakan di lokasi sama.

“Ceramah malam itu membabitkan pemimpin tertinggi PH, Kit Siang, Guan Eng, Mujahid Yusuf, Salahuddin Ayub, Abd Aziz Bari dan lain-lain.

Orang Asli yang hadir ke majlis bersama Tun Dr Mahathir.

“Kehadiran malam itu sekitar 300 orang. Melihat kepada wajah yang hadir hampir separuh orang luar.

“Berbeza dengan himpunan tengah hari tadi. Jumlah kehadiran agak memuaskan. Dr Mahathir sendiri menyatakan kegembiraanya kerana ramai yang pakai baju merah,” katanya.

Menurut Sayuti, khemah panjang disediakan penuh sesak.

Tidak cukup itu orang ramai berdiri di kiri dan kanan diluar khemah.

“Saya menganggarkan yang hadir sekitar 3,000. Namun sebagai majlis melibatkan PM, ia masih belum berjaya,” tulisnya.

Hari ini, pengundi Cameron Highland akan membuang undi mereka selepas mahkamah membatalkan keputusan pilihan raya PRU 14 Mei lalu kerana calon BN yang menang didapati melakukan rasuah pada 30 November 2018 lepas.

Pada PRU-14, Sivarraajh menang dengan majoriti 597 undi selepas memperoleh 10,307 undi menewaskan calon DAP, M Manogaran yang memperoleh 9,710 undi; Wan Mahadir Wan Mahmud daripada PAS (3,587 undi); Mohd Tahir Kassim daripada Berjasa (81 undi) dan B Suresh Kumar daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM) (680 undi).

PRK Cameron Highlands hari ini akan menyaksikan pertandingan empat penjuru melibatkan calon BN, Ramli Md Nor, calon Pakatan Harapan M. Manogaran serta dua calon Bebas iaitu Wong Seng Yee dan Sallehudin Ab Talib.