Malaysia Dateline

“Pas boleh masuk dalam tanah dia”

Husam Musa projek karbonHusam berkata, pihaknya juga pada masa sama boleh memasuki bangunan berwarna oren yang turut menempatkan Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Salor itu.

“Dari segi penggunaan bangunan itu, setakat saya faham masih boleh kita guna sebagai status quo yang dulu.

“Pas boleh masuk dalam tanah dia, kita boleh masuk dalam bangunan kita,” jelasnya malam tadi dalam satu penjelasan dipercayai di sebuah surau.

Semalam, Mahkamah Tinggi Kota Bharu menolak permohonan injunksi Husam bagi menghalang Pas menggunakan tanah Wisma Tok Guru.

Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Bache berkata Yasin adalah pemilik tanah yang sah melalui Kanun Tanah Negara 1965.

Bagaimanapun, keputusan berhubung pemilik bangunan itu belum ditetapkan lagi sekali gus status quo dilihat masih diguna pakai.

Sehubungan itu, Husam memberitahu aktiviti berkaitan AMANAH boleh diteruskan sehingga pihak mahkamah memutuskan larangan penggunaan premis tersebut.

“InsyaAllah, aktiviti kita di bangunan itu akan diteruskan kecuali mahkamah kata, keputusan termasuk tidak boleh guna bangunan

“Setakat saya faham, mahkamah tidak kata begitu. Mahkamah bahkan mengiktiraf bahawa setakat hari ini sehingga 4 hari bulan (Disember) bangunan itu di bawah milikan saya, di bawah wilayah saya,” jelas bekas Exco kanan kerajaan negeri Kelantan berkenaan.

Berhubung status pemilik tanah tersebut, Husam mengakui pihaknya tidak mempertikai hak Mohd Yasin Yusoff yang juga Setiausaha Kerja Pas Kelantan.

“Dari segi sah tidak sah pembelian tanah itu, kita tidak pertikai. Atas geran memang Mohd Yasin bin Yusoff tetapi bangunan itu dibina sebelum Mat Yasin beli tanah itu lagi dengan persetujuan tuan tanah yang asal,” ujarnya.

Tanah milik isteri kepada bekas Adun Salor, Allahyarham Datuk Ahmad Rosli Ibrahim itu sudah dijual kepada Mohd Yasin pada harga RM700,000.

Ekoran itu, Pas menghantar notis meminta AMANAH mengosongkan bangunan itu tetapi AMANAH hanya akan mengosongkan wisma tersebut atas arahan mahkamah.

“Kalau Pas menganggu, itu pencerobohan. Kita akan cakap pada mahkamah minta mahkamah kenakan ganti rugi pada kita di atas apa-apa kerosakan oleh Pas ke atas bangunan dan persekitaran bangunan,” kata Husam.

Bekas Naib Presiden Pas berkenaan sebelum ini dalam satu kenyataan menegaskan bangunan tersebut adalah Pejabat Adun Salor bukan pejabat Pas.

Katanya, satu bangunan baru dibina pada Februari 2009 selepas mendapat keizinan Allahyarham Rosli tanpa menggunakan sumbangan derma daripada ahli atau pemimpin Pas.

Sebelum itu, jelasnya, sudah wujud satu bangunan yang dibina oleh Rosli ketika menjadi Adun S46 pada 1990 yang menjadi Pejabat Adun Salor S46.

“Apabila saya menjadi Adun pada 2008, Datuk Rosli masuk Pas 2007, saya berbincang dengannya. Katanya ‘Tak apalah, Datuk (Husam) ambil kerana Datuk adalah Adun Salor’,” ujar Husam.

Dalam perkembangan berkaitan, Pas mengadakan majlis kesyukuran malam tadi di pekarangan Wisma Tok Guru dengan solat hajat dipimpin Nik Razi Nik Mat, 72, iaitu adik kepada bekas Menteri Besar Kelantan, Almarhum Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Perebutan bangunan itu menyaksikan ahli Pas bersama Ketua Pemudanya, Ahmad Fadhli Shaari memasang bendera Pas di luar pagar wisma tersebut bulan lalu.