Malaysia Dateline

Pas buat lawak kata undi tak percaya malukan rakyat

Pengarah Komunikasi AMANAH Khalid Samad menyifatkan Pas membuat lawak apabila menyatakan usul undi tidak percaya yang akan dibawa Pakatan Harapan di dalam sidang Parlimen akan datang, memalukan rakyat.

Di ciapan twitter Khalid membidas Pas dan Perikatan Nasional yang tidak malu dengan tindakan tempoh hariĀ  mengadakan Langkah Sheraton untuk membentuk kerajaan tebuk atap.

“Langkah Sheraton tempoh hari tak malu? Kerajaan pintu belakang dan tebuk atap tak malu?” soal Khalid.

Kenyataan pemuda Pas itu bagi Khalid adalah lawak dan jika bukan bulan puasa sudah tentu ramai yang akan tergelak dengan kenyataan Pas itu.

“Lawak pagi. Penjual agama yang bersama ‘malu apa bossku’ nak tegur PH atas isu ‘malu pada rakyat”?

“Kalau tak kerana puasa pasti ramai gelak terbahak-bahak sambil berguling atas lantai,” ciap Khalid.

Terdahulu, Pemuda Pas melalui Timbalan Pemudanya Ahmad Fadhli Saari berkata, desakan Pakatan Harapan untuk melanjutkan sidang parlimen nanti tidak perlu dan tidak penting.

Katanya, PH terbukti bertindak melampaui batasan simpati kepada rakyat di mana, PH telah mendesak YDP Speaker Dewan Rakyat untuk membentangkan usul undi tidak percaya kepada PM dan mahu mengusulkan undi percaya kepada Tun Mahathir untuk dilantik semula menjadi Perdana Menteri.