Malaysia Dateline

Pas bukan tikus dalam kepuk padi, semut mati dalam gula, kata Abdul Hadi

Pas menegaskan parti itu tidak pernah rugi dalam semua kerjasama politik selagi beristiqamah dengan Islam.

Sebaliknya, kata Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam ucapan dasar selaku Presiden parti merasmikan Muktamar Pas ke-66 hari ini, mereka yang meninggalkan Pas sebenarnya rugi.

Ahli Parlimen Marang itu bahkan memberikan contoh perumpamaan, tikus yang berada dalam kepuk padi dan semut yang mati dalam gula.

“Insya-Allah kita tidak menjadi laksana tikus yang berada dalam kepuk padi atau semut yang mati dalam gula, tidak seperti mereka yang tidak beristiqamah melompat dan melarikan diri daripada Pas sebagai sebuah parti Islam,” tegasnya di di Dewan Pusat Tarbiah Islam Kelantan (PUTIK), Kota Bharu.

Menurut Abdul Hadi, Pas bertanggungjawab di bawah Kementerian, GLC dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri serta mempunyai kerusi di beberapa negeri tanpa terlibat dalam kerajaan secara langsung.

“Semua lapangan ini memberi peluang kepada kita dengan kadar yang terhad. Para ulama’ menetapkan kaedah: Apa yang kita tidak dapat semuanya, jangan ditinggalkan semuanya.”

“Sekalipun kita tidak mencapai ke peringkat Tamkin (berkuasa sepenuhnya) dan masih belum berpuas hati, namun semua ahli Pas yang berada di tempat masing-masing hendaklah menjalankan tugas masing-masing, dengan berperanan membawa risalah Islam yang kita tegakkan.

“Sekurang-kurangnya menjadi teladan yang baik dari segi syakhsiah (integriti) dan kemampuan dalam melaksanakan tugas dengan jayanya,” ujarnya lagi dalam muktamar kali pertama Pas menjadi ahli gabungan blok kerajaan.