Malaysia Dateline

Pas cadang anjur Kongres Kebangsaan, teliti isu kemiskinan

Pas mencadangkan agar satu kongres kebangsaan dianjurkan untuk meneliti dan merumus resolusi baharu bagi memperincikan isu kemiskinan di Malaysia.

Timbalan Presidennya, Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, kongres tersebut mestilah melibatkan semua pihak tanpa mengira pendirian politik supaya natijahnya lebih objektif.

Katanya, Isu kemiskinan mesti dilihat sebagai satu perkara yang signifikan di samping memacu negara ke arah sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi.

“Kongres kebangsaan bertemakan kemiskinan ini dicadangkan ekoran percanggahan perspektif mengenai statistik kemiskinan yang dinyatakan oleh kerajaan dengan laporan yang disediakan oleh Profesor Philip Alston (UN Special Rapporteur on Extreme Poverty and Human Rights) pada 23 Ogos.

“Hal ini juga boleh diselarikan dengan pelbagai gesaan yang timbul sebelum ini mengenai semakan semula Paras Garis Kemiskinan dan dasar afirmatif yang telah dipraktikkan sebelum ini.

“Pas berpendapat isu kemiskinan mesti dijadikan fokus utama supaya jurang kaya miskin antara bandar dan luar bandar termasuk antara kaum dapat diperbaiki,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, kongres tersebut turut bakal melibatkan perubahan polisi, peruntukan skim bantuan atau subsidi dan juga pengagihan zakat.

Jelasnya, sekiranya pelbagai pihak boleh duduk berbincang bersama untuk menangani isu kemiskinan, maka majoriti rakyat akan beroleh manfaat.